Kayveas harus guna saluran rasmi

Astro Awani
Februari 20, 2013 23:20 MYT
Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) Datuk Seri M. Kayveas harus menggunakan saluran rasmi sebelum mengumumkan kawasan hendak ditandingi dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.
Setiausaha badan perhubungan Umno Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, sebarang keputusan kerusi harus mendapat persetujuan majlis tertinggi Barisan Nasional terlebih dahulu.
Ujarnya, semua parti komponen harus berbincang dan memikirkan kesan keputusan itu kepada akar umbi di kawasan parlimen yang mahu diwakili.
“Tiap-tiap parti komponen berhak beri pandangan menyuarakan tapi kita ada saluran yang tertentu dan kita kena pakai saluran ini.
Kita tidak boleh nak ke sana sini, ianya akan mengelirukan. Tempat yang terbaik ialah majlis tertinggi dan dia harus berbincang dengan presiden.”
Beliau mengulas laporan M. Kayveas di akhbar yang mengesahkan mahu bertanding di salah satu daripada dua kerusi di ibu negara iaitu Bandar Tun Razak atau Batu dalam PRU Ke-13.
Jelas Syed Ali, kedua kawasan yang disebut Presiden PPP adalah kawasan yang sinonim dengan Parti Gerakan.
Pada PRU ke-12 lalu, PPP diperuntukkan dua kerusi di Perak iaitu Parlimen Taiping dan DUN Pasir Bedamar namun tewas di kedua-dua kerusi kepada calon DAP.
#Barisan Nasional #Datuk M. Kayveas #Datuk Seri Syed Ali Alhabshee #PRU 13