Kayuh bukan sebarang kayuh, 'buah mula' tawan tiga puncak dunia 2023

Eton Khir
Januari 13, 2022 18:15 MYT
Khairil Aslan Ab Rashid bergambar dengan basikalnya untuk menyertai siri kayuhan solo Fatbike menjelajah Semenanjung Malaysia selama 40 hari bermula hari ini. - Foto Astro AWANI/SHAHIR OMAR
GOMBAK: Pendaki solo negara, Khairil Aslan Ab Rasid akan memulakan ekspedisi siri kayuhan solo Fatbike menjelajah Semenanjung Malaysia selama 40 hari bermula hari ini.
Menurut Khairil Aslan, 47, ekspedisi sejauh kira-kira 2200 kilometer tersebut akan bermula di Greenwood, Gombak dan berakhir di Puchong pada 20 Februari depan.
Katanya, keadaan cuaca yang tidak menentu merupakan antara cabaran yang terpaksa dilaluinya nanti.
"Selain cuaca, keadaan basikal yang berat dan juga struktur geografi Malaysia ini turut memberi cabaran besar untuk saya menyelesaikan misi ini. Pengalaman saya di sebelah Pantai Timur adalah situasi yang melibatkan arah angin.
"Jika perjalanan yang dilalui itu mengikut arah laut, perjalanan saya kebiasaannya lancar, namun jika situasi sebaliknya... ini yang akan menjadi masalah dan menyukarkan perjalanan ekspedisi yang telah dirancang, ia seumpama kita mengayuh namun tidak bergerak sama sekali.
Menurutnya lagi, antara laluan yang disifatkan agak mencabar adalah dari Kelantan ke Perak dan Kedah.
Selain itu, puncak Titiwangsa yang berketinggian 2000 meter dari paras laut dengan laluannya yang cukup panjang turut menjadi antara laluan mencabar buat Khairil Aslan.
CABARAN TETAP DIHARUNGI
"Kawasan tersebut juga tiada penempatan dan hanya dikelilingi hutan," katanya ketika ditemui di acara flag-off di Pejabat Urusan Ana Global Ventures, Greenwood, di sini, pada Khamis.
Kairil yang berasal dari Batu Kurau, Perak itu berkata, kayuhan bertemakan 'Penjelajahan Ilmu Buat Kamu' adalah sebagai satu latihan sebelum beliau melakukan pendakian Projek G3 8000ers 2023.
"Jadi, saya menyasarkan kayuhan solo mengelilingi Malaysia dengan Fatbike, satu-satunya basikal bertayar besar yang pernah basikal pertama dunia ke Chadar Glasier, Utara India dengan suhu minus 35 darjah Celcius. Saya mensasarkan 35 sehingga ke 40 hari untuk kayuhan ini kerana kita sedia maklum bukan mudah nak berbasikal Fatbike di atas jalan raya dengan tayar paling besar bersaiz 505," katanya.
Sementara itu, katanya, misi pendakian Projek G3 8000er 2023 akan datang merupakan antara ekspedisi yang lebih mencabar kerana terdapat 14 gunung yang perlu ditawan.
Katanya, ia juga memerlukan kos perbelanjaan yang besar untuk menjayakan misi tersebut dan berharap mendapat tajaan daripada mana-mana pihak dalam masa terdekat.
Setakat ini, Kumpulan Ana Global Ventures menerusi dua anak syarikat, Ezmeals MRE dan Qaseh Health Resource (QHR) turut serta dalam ekspedisi ini selaku penaja.
#Khairl Aslan Ab Rasid #Fatbike #Penjelajahan Ilmu Buat Kamu #Projek G3 800ers 2003
;