Kawat duri, laluan ke bangunan kerajaan di Putrajaya dibuka - polis

Bernama
Mei 11, 2018 04:14 MYT
Anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengawal pintu masuk ke Jabatan Peguam Negara ketika tinjauan fotoBERNAMA pada Jumaat. --fotoBERNAMA.
Kawat berduri yang dipasang di sekitar bangunan pentadbiran kerajaan dan laluan ke bangunan-banguan tersebut sudah dibuka sejak 4 petang Jumaat, Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Rosly Hassan.
Beliau berkata kawat duri itu dipasang pada hari penamaan calon sebelum dibuka dan dipasang semula pada hari pengundian untuk tujuan keselamatan.
"Sebelum ini, kita buat sekatan di beberapa kawasan 'hot spot' dan pasang kawat duri itu berikutan belum ada keputusan parti mana yang menjadi kerajaan.
"Apabila Tun Dr Mahathir Mohamad selesai mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri malam tadi, semua sekatan serta kawat duri yang dipasang sebelum ini dibuka untuk laluan orang awam," katanya ketika dihubungi Bernama malam tadi.
Dakwaan bangunan Jabatan Peguam Negara di sini dipasang kawat duri, susulan kenyataan Dr Mahathir bahawa kerajaan sedang meneliti kes berkaitan siasatan terhadap 1MDB yang dikendalikan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali, tular di media sosial pada Jumaat.
Rosly berkata gambar berhubung dakwaan itu, yang turut ditularkan, adalah tidak benar.
Sementara itu, tinjauan Bernama di kawasan berkenaan malam tadi mendapati tiada lagi kawat duri dipasang di bangunan terbabit.
Tinjauan Bernama di Dataran Putrajaya berhadapan Masjid Putra malam ini pula mendapati ia meriah dengan kehadiran kira-kira 1,000 penyokong kerajaan PH yang terus meraikan kemenangan pakatan itu membentuk Kerajaan Persekutuan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Kawasan Dataran Putrajaya, yang sebelum ini ditutup bagi laluan orang awam, dibanijri kenderaan dan orang ramai dengan sebilangan besarnya mengibarkan bendera PKR dalam pelbagai bentuk dan saiz selain menjalankan aktiviti riadah yang lain.
Pada PRU14 Rabu lepas, PH memenangi 135 daripada 222 kerusi Parlimen bagi membentuk Kerajaan Persekutuan yang baharu.
--BERNAMA
#1MDB #bangunan pentadbiran #kawat berduri #kerajaan #keselamatan #Mahathir Mohamad #media sosial #Mohamed Apandi Ali #Peguam Negara #penamaan calon #pilihan raya umum #PRU14 #Putrajaya #Rosly Hassan #siasatan #Tular
;