Kawasan tebing dan cerun Bukit Kerinchi pula terhakis

Astro Awani
Disember 30, 2012 07:15 MYT
Ekoran kebimbangan berlaku kejadian tanah runtuh, Majlis Pengurusan Pantai Panorama meminta Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM), membuat pemeriksaan cerun di kawasan berkenaan.
Mereka turut mendesak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk segera membuat kerja penyelengaraan di kawasan tebing dan cerun Bukit Kerinchi.
Tinjauan Astro Awani mendapati, terdapat banyak tanda-tanda pergerakan tanah berlaku di sekitar kawasan pangsapuri berkenaan.
Kesan hakisan air menjadi semakin buruk setiap kali hujan lebat ianya dipercayai berlaku akibat pergerakan tanah yang berlaku di kawasan lereng pangsapuri ini turut mengakibatkan berlakunya mendapan.
Ahli Majlis Pengurusan Pantai Panorama, Dr Teo Keng Huat percaya, masalah ini berpunca daripada projek perumahan di kawasan berhampiran.
Menurut Dr Teo lagi, IKRAM dan DBKL pernah membuat tinjauan dua tahun lepas, namun tiada tindakan susulan dilakukan.
Katanya masalah ini perlu dipandang serius kerana ia bukan sahaja mengancam nyawa dua ribu penghuni pangsapuri berkenaan, malah turut menjejaskan keselamatan penduduk pangsapuri berhampiran.
#bukit #DBKL #Dr Teo Keng Huat #IKRAM #Kerinchi
;