Kawasan taman laut Pulau Kapas diceroboh nelayan Thailand

Sharom Abu Bakar
Jun 19, 2017 10:11 MYT
Aktiviti menceroboh kawasan larangan dan taman laut untuk hasil tangkapan lumayan dikesan di perairan Pulau Kapas membabitkan bot tempatan yang dikendalikan nelayan asing.
Pengarah Penguat Kuasa Maritim Terengganu, Kepten Maritim Zainolabidin Jusoh berkata dua bot bersama 10 nelayan ditahan di kawasan antara tiga dan lapan batu nautika dari pulau berkenaan.
Mereka dikesan antara jam 1.30 petang dan 4.45 petang Ahad dalam operasi APMM bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia membabitkan tiga bot dan 50 anggota dan pegawai.
Menurutnya, bot kelas B ditahan bersama seorang tekong dan empat awak awak berusia antara 20 hingga 50 tahun, manakala bot kelas C dikendalikan tekong dan lima nelayan Thailand berusia antara 20 dan 30 tahun.
“Kita akan dakwa mereka di bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985, iaitu menangkap ikan bertentangan dengan lesen dan tidak kurang daripada 12 batu nautika,” ujar beliau.
Zainolabidin berkata, rondaan serta Ops Bersepadu dengan kerjasama agensi lain menerusi Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) akan diteruskan berikutan keberkesanannya dalam membendung aktiviti perikanan haram.
#APMM #haram #kawasan larangan #nelayan #nelayan haram #nelayan thailand #operasi #perikanan #Taman Laut #Thailand
;