Kawasan Stadium Shah Alam digenangi air selepas hujan hampir sejam
Raja Hisyam Raja Zaid
Oktober 27, 2018 17:08 MYT
Oktober 27, 2018 17:08 MYT
Kemeriahan aksi penyokong Terengganu dan Perak yang berkumpul sejak pagi di Stadium Shah Alam bagi menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia edisi 2018 sedikit terjejas apabila hujan lebat mula turun sekitar jam 3 petang tadi.
Hujan yang berterusan hampir sejam itu menyaksikan sebahagian kawasan parkir kereta di stadium tersebut digenangi air.
Kebanyakan penyokong terpaksa bergerak ke kawasan berbumbung di perkarangan stadium untuk berlindung sebelum pintu stadium dibuka jam 4 petang.
Bagaimanapun, keadaan dalam stadium dan di atas padang tidak terjejas setakat ini dan dijangka tidak akan mengganggu aksi final yang dijadual berlangsung jam 8.45 malam nanti.
Malah keadaan di dalam stadium tersebut mula sesak dan hampir penuh dengan kedua-dua penyokong sejak pintu dibuka.
Menurut Badru Hishan Mohd Zin yang juga merupakan salah seorang warga AwaniJR, keadaan tersebut bagaimanapun tidak melunturkan semangat kebanyakan para penyokong yang hadir dari kedua-dua buah negeri tersebut untuk menyaksikan perlawanan malam ini.