Kawasan rumah pangsa dan perumahan Town Villa di Sibu Jaya dikenakan PKPD

Nickyson Nyambar
Februari 10, 2021 17:23 MYT
Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Town Villa di Sibu Jaya, Sibu ini dimaklumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak pada Rabu. -Gambar Astro AWANI
KUALA LUMPUR : Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak memutuskan untuk mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan rumah pangsa dan perumahan Town Villa di Sibu Jaya, Sibu.
Menurut Pengerusi JPBN Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, langkah berkenaan akan dilaksanakan bermula 12 Februari sehingga 25 Februari 2021.
"Memandangkan pekan Sibu Jaya telah mencatatkan 247 kes positif COVID-19 dan 129 (daripadanya) adalah didapati di kawasan rumah pangsa dan perumahan Town Villa yang mempunyai anggaran penduduk seramai 6,000 orang.
"Maka JPBN Sarawak memutuskan untuk melaksanakan PKPD bagi kawasan rumah pangsa dan perumahan Town Villa, Sibu Jaya berkuat kuasa 12 Februari iaitu 12.01 pagi hingga 25 Februari 2021, pukul 11.59 malam," kata beliau pada sidang media harian COVID1-19 Sarawak pada Rabu.
Sementara itu, Sarawak pada hari ini mencatatkan 135 kes positif baharu COVID-19, menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 6,006 kes.
"Sibu mencatatkan 83 kes, 19 kes di Bintulu, sembilan di Miri, enam di Dalat, lima di Julau, tiga di Kuching dan Betong.
"Manakala, dua direkodkan di Lundu dan Kapit, satu masing-masing di Beluru, Serian dan Kanowit," maklum beliau dalam sidang media yang sama.
Antara lain, 15 kluster masih kekal aktif di negeri itu.
Kluster-kluster berkenaan adalah Kluster Seruas, Kluster Sebangkoi, Kluster Jun Heng, Kluster Bintang Daily, Kluster Jalan Pengiran, Kluster Tabong, Kluster Indah Riang serta Kluster Bedayan.
Bakinya, Kluster Rakut, Kluster Bukit Sekubong, Kluster Jelita, Kluster Pasai,Kluster Keranji Tabuan, Kluster Bah Sayap dan Kluster Stutong.
#COVID-19 #Sarawak #pandemik #135 kes positif baharu #Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak #JPBNS #Datuk Amar Douglas Uggah Embas #Town Villa #Sibu Jaya #Sibu
;