Kawasan PKP: Murid sekolah rendah hingga Tingkatan 4 boleh ikuti PdPR
Hasimi Muhamad
Januari 11, 2021 21:31 MYT
Januari 11, 2021 21:31 MYT
KUALA LUMPUR: Semua murid sekolah rendah dan murid Tingkatan 1 hingga Tingkatan 4 di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) boleh mengikuti pembelajaran melalui kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bermula 20 Januari ini.
Menurut Menteri Pendidikan Malaysia (KPM), Dr Radzi Jidin, ketetapan itu turut terpakai kepada murid Semester 2 SVM dan Semester 2 DVM tahun 2020 di kolej Vokasional.
“Bagi Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) ke Tingkatan 1, calon berdaftar yang masih belum menduduki pentaksiran ini akan mengikuti pentaksiran di antara 20 hingga 29 Januari 2021.
“Sementara itu, bagi kemasukan ke Tingkatan 4 pula, pentaksiran akan diadakan di antara 15 hingga 25 Februari 2021.
KPM turut memaklumkan hanya murid yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) serta Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), sahaja akan hadir secara bersemuka bagi sesi persekolahan 2021 di kawasan yang dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Pelajar, calon peperiksaan utama termasuk SPM dibenarkan hadir ke sekolah
Arahan tersebut turut melibatkan pelajar Diploma Vokasional Malaysia (DVM) 2020 dan 2021 serta peperiksaan antarabangsa yang setara, tambahnya.
“Murid sekolah berasrama penuh dan asrama sekolah harian yang menduduki peperiksaan tersebut dibenarkan pulang ke asrama mulai 16 Januari 2021.
“Surat kebenaran khas akan dikeluarkan oleh pihak sekolah bagi membolehkan murid merentas negeri atau daerah untuik pulang ke asrama,” katanya dalam satu kenyataan, di sini malam ini.
Bagi tujuan pengoperasian sekolah, Radzi berkata semua guru hendaklah kembali ke stesen tempat bertugas masing-masing sebelum 20 Januari ini.
Tambahnya, guru yang terlibat dengan peperiksaan SPM/SVM/SKM/STPM/STAM/DVM tahun 2020/2021 di kawasan PKP, perlu hadir ke sekolah untuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran (PdP).
Dalam perkembangan sama, Radzi berkata pelajar Kolej Matrikulasi di kawasan PKP yang telah berada di kolej perlu kekal di kolej masing-masing untuk terus mengikuti pembelajaran secara hibrid.
“Bagi pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) di kawasan PKP, PdPR bagi semua program pengajian dilaksanakan secara dalam talian mulai 17 Januari 2021.
“Di samping itu, semua tadika yang berdaftar dengan KPM boleh terus beroperasi secara bersemuka,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan PKP di enam negeri bermula 13 Januari hingga 26 Januari ini.
#Sijil Pelajaran Malaysia
#SKM
#perintah kawalan pergerakan
#PKP
#COVID-19
#Radzi Jidin
#Muhyiddin Yassin
#Dr Noor Hisham Abdullah
#Dr Adham Baba
#pembelajaran dalam talian
#PKP 2 0