Kawasan pesisir pantai Sabak Bernam dilimpahi air pasang besar

Sinar Harian
Oktober 17, 2024 12:00 MYT
Kawasan rekreasi dan ruang niaga di Pantai Nakhoda Omar serta laman rumah penduduk di Bagan Nakhoda Omar dinaiki air berikutan fenomena air pasang besar pada Khamis.
SABAK BERNAM: Beberapa kawasan pesisir pantai, halaman rumah penduduk dan jalan di daerah Sabak Bernam dilimpahi air laut berikutan fenomena air pasang besar pada pagi Khamis.
Ketua Zon 7 Selangor Utara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Samsol Maarif Saibani berkata, pemantauan yang dijalankan selama dua jam bermula jam 4 pagi itu mengesan lima lokasi limpahan air.
Menurutnya, lokasi itu ialah di Bagan Sungai Besar, pesisir pantai Bagan Nakhoda Omar, kawasan rekreasi Batu 23 Sungai Nibong, Sekinchan dan Bagan Sekinchan.
"Pemantauan di Bagan Sungai Besar mendapati air melimpah di jalan berdekatan Lorong 5 ke parit pembuang.
"Sementara di Bagan Nakhoda Omar pula kita dapati berlaku limpahan air di sekitar pesisir pantai dan laman rumah penduduk," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.
Beliau berkata, limpahan air juga berlaku di kesemua kawasan rekreasi Batu 23 Sungai Nibong, Sekinchan.
"Paras air laut hari ini (Khamis) tinggi mengakibatkan berlaku limpahan air di atas jalan di semua kawasan berhampiran termasuk kedai berhampiran di Sekinchan.
"Tinjauan di Bagan Sekinchan mendapati terdapat limpahan air di kesemua lorong jalan penempatan berhampiran," ujar beliau.
Jelasnya, terdapat beberapa kawasan kunci air mengalami limpahan di permukaan jalan antaranya di kawasan resort Sungai Haji Dorani, Sungai Pulai, Pintu Air Sungai Burung, tapak projek Jambatan Sungai Air Tawar - Hutan Melintang.
"Turut berlaku limpahan di Kunci Air 6 Sekinchan, Kunci Air Parit Baru Baroh, Pintu Air Sungai Nipah, Kunci Air Beting Kepah dan beberapa kawasan di Sungai Lang," kata beliau.
Bagaimanapun, katanya, keadaan fenomena air pasang itu masih terkawal dan surut sepenuhnya kira-kira jam 6 pagi Khamis.
Beliau memberitahu, air pasang besar dijangka melanda sekali lagi kira-kira jam 4 petang dan memasuki hari kedua pada Jumaat.
"Paras air laut esok (Jumaat) dijangka meningkat sehingga mencecah ketinggian 5.8 meter," katanya. - Sinar Harian
#air pasang besar #Kuala Selangor #Sabak Bernam #banjir kilat
;