Kawasan penemuan artifak prasejarah di Gunung Pulai boleh dijadikan produk pelancongan - Mukhriz
Adie Sufian Zulkefli
Januari 22, 2020 22:48 MYT
Januari 22, 2020 22:48 MYT
Kerajaan negeri Kedah bercadang menjadikan kawasan penemuan 100 artifak zaman Paleolitik di Gunung Pulai, Baling sebagai satu produk pelancongan.
Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir memaklumkan, kerajaan negeri akan berbincang bersama Jabatan Warisan Negara (JWN) secara lebih terperinci apakah bentuk sektor pelancongan yang dapat dilakukan di tapak warisan baru itu.
Bagaimanapun katanya, kerajaan kini telah mengarahkan supaya menghentikan kerja-kerja kuari yang dijalankan di kawasan gunung itu sebelum ini.
"Kita nak memguruskannya sebelum ini. Kita dah menghentikan kerja-kerja kuari di situ dan kita cadangkan supaya Gunung Pulai ini dijadikan destinasi pelancongan.
"Ini satu peluang.. bila dah ada penemuan seperti itu ian boleh dijadikan satu tarikan pelancong. Yang itu belum kita perhalusi lagi," ujar Mukhriz.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dan kerjasama pelaburan di kawasan perindustrian Bukit Selambau, Sungai Petani antara Zhejiang Element Holding Co Ltd bersama Invest Kedah Berhad dan Genting Ehsan (SP) Sdn Bhd di Wisma Darul Aman, pada Rabu.
Pada Selasa, Jabatan Warisan Negara (JWN) telah menemui lebih 100 artifak prasejarah zaman Paleolitik dianggarkan berusia 17,000 tahun di beberapa buah gua di Gunung Pulai.
Artifak dalam bentuk peralatan batu, pecahan tembikar dan kulit siput sungai ditemui di tapak-tapak baharu ekskavasi antaranya di Gua Kelambu, Gua Tembus dan Gua Akar di gunung tersebut.
JWN telah menjalankan eksplorasi di kawasan berkenaan antara April hingga Oktober tahun lalu.
Ekskavasi dan penyelidikan kini dijalankan di tapak tersebut turut disertai Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Jabatan Geologi, Universiti Malaya (UM).
Menurut beberapa pihak, jika artifak itu benar-benar berusia 17,000 tahun, ia bermakna penempatan di Gunung Pulai itu adalah antara yang tertua di negeri ini dan lebih tua berbanding di Tapak Arkeologi Sungai Batu, Merbok.