Kawasan pencarian tiga nelayan dikhuatiri hilang dekat Pulau Payar diperluas

Bernama
Januari 13, 2025 11:00 MYT
Operasi CARILAMAT hari ketiga ini membabitkan aset udara dan kapal milik APMM, bot polis dan bot APM, melibatkan keluasan sektor pencarian sejauh 371.28 batu nautika persegi.- Facebook Maritim Malaysia
ALOR SETAR: Operasi mencari tiga nelayan yang dikhuatiri hilang setelah menjalankan aktiviti merawai dekat Pulau Payar diteruskan hari ini dan kawasan pencarian diperluas sejauh 371.28 batu nautika persegi.
Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) mangsa iaitu Asrul Hisham Zainon, 47, anaknya Shahril Aiman Asrul Hisham, 16, serta Mohamad Al-Amin Sufian, 29, diteruskan pada 7.30 pagi ini.
"Operasi CARILAMAT hari ketiga ini membabitkan aset udara dan kapal milik APMM, bot polis dan bot Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), melibatkan keluasan sektor pencarian sejauh 371.28 batu nautika persegi," katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, media melaporkan tiga nelayan dikhuatiri hilang selepas tidak pulang ke pangkalan setelah menjalankan aktiviti merawai di kedudukan 10.9 batu nautika barat Pulau Payar pada Jumaat lepas.
Pihak Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Langkawi menjalankan operasi CARILAMAT selepas menerima panggilan daripada anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda memaklumkan laporan kehilangan dibuat oleh adik seorang daripada mangsa.
-- BERNAMA
#nelayan hilang #pulau payar #APMM #operasi carilamat
;