Kawasan pencarian remaja Rohingya lemas diperluaskan

Astro Awani
Januari 9, 2018 08:25 MYT
Salleh Ahmad Fazul Ahmad dan isteri, Tahera Abul Kalam, bersama seorang lagi anak mereka, sedih dengan nasib anak sulung mereka yang masih belum ditemui setelah dihanyutkan arus deras pada kejadian petang Ahad. Astro AWANI
Operasi mencari dan menyelamat remaja Rohingya yang hilang pada petang Ahad, Muhammad Rahim Salleh Ahmad, 17 tahun, disambung pagi ini selepas dihentikan lewat petang Isnin.
Pengarah Operasi Jabatan Bomba Dan Penyelamat Terengganu, Penolong Kanan Penguasa Bomba Azmi Omar berkata, operasi disertai 72 pegawai dan anggota dari Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Unit Selam PDRM.
Menurut Azmi, kawasan operasi akan diperluaskan.
"Kita akan buat pencarian mungkin di jarak yang lebih jauh, memandangkan arus pun laju dan keadaan air pun meningkat.
"Jadi, bersama dengan jabatan-jabatan lain, kita akan buat perbincangan seterusnya," katanya.
Sementara itu, salah seorang rakan, Mohd Yasir Nur Alam, 15 tahun, berkata mangsa dihanyutkan arus deras ketika cuba menyelamatkan seorang rakan mereka yang hampir lemas.
BACA: Remaja Rohingya dikhuatiri lemas selepas main bola
"Muhammad Rahim cuba menolong, tetapi tak boleh. Kemudian, saya datang tolong, pun tak boleh. Saya tangkap dia, tetapi terlepas," katanya.
Dalam pada itu, bapa mangsa, Salleh Ahmad Fazul Ahmad, 34 tahun, berkata dia dan isteri, Tahera Abul Kalam, 34 tahun, amat sedih kerana nasib anak sulung mereka itu masih belum diketahui.
Sebelum ini, pasangan itu pernah kehilangan dua anak sebelum datang ke Malaysia.
Salleh berkata, mereka ada berhubung dengan Muhammad Rahim selepas dia pulang dari bercuti di rumah mereka di Kuala Krai, Kelantan minggu lalu.
"Dia ada telefon beritahu dia sudah sampai. Saya ada cakap, baik-baik duduk di sana. Dia cakap, ok baba. Itu saja," katanya.
Menurutnya, Muhammad Rahim adalah anak sulung dari lima beradik dan belajar di Madrasah Hidayah Rohingya Datuk Abd Rahman, Kuala Berang sejak setahun lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.15 petang Ahad, Muhammad Rahim dikhuatiri hilang dibawa arus deras ketika mandi bersama empat lagi rakannya di Sungai Terengganu selepas bermain bola di padang rekreasi berdekatan.
#lemas #Muhammad Rahim Salleh Ahmad #operasi #pencarian #Rohingya
;