Kawasan pelancongan Banda Hilir rekod sifar jenayah - Ab Rauf

Bernama
September 9, 2024 22:50 MYT
Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata rekod cemerlang itu sekali gus memberi keyakinan kepada pelancong tempatan mahupun luar negara untuk berkunjung ke negeri ini sempena kempen Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024). - Foto FB Ab Rauf Yusoh
JASIN: Kawasan pelancongan di sekitar Banda Hilir merekodkan kadar sifar jenayah setakat ini hasil daripada pemantauan dan kawalan keselamatan berterusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Melaka terutama di lokasi tumpuan.
Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata rekod cemerlang itu sekali gus memberi keyakinan kepada pelancong tempatan mahupun luar negara untuk berkunjung ke negeri ini sempena kempen Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).
"Kawasan tumpuan khusus seperti Bangunan Stadthuys menerima kunjungan ratusan ribu orang...kita dimaklumkan polis lokasi ini adalah kawasan sifar jenayah sama ada kes seperti kecurian, penyeluk saku dan lain-lain.
"Tiada jenayah seperti kes tersebut dilaporkan di kawasan pelancongan setakat ini dan ia menunjukkan kecemerlangan PDRM dalam memberikan perkhidmatan terbaik untuk mencegah jenayah," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu beliau menyempurnakan Program Polis Komuniti peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin di sini yang turut dihadiri Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Samah.
Dalam pada itu, Ab Rauf berkata kerajaan negeri akan mempereratkan lagi kerjasama dengan polis Melaka dalam meningkatkan tahap dan kawalan keselamatan sebagai tuan rumah Hari Pelancongan Dunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Dunia (WTC) yang dijadual berlangsung pada September tahun depan.
Beliau berkata persediaan itu dilakukan lebih awal bagi menerima kunjungan peserta persidangan yang terdiri daripada pemimpin 155 negara seluruh dunia yang akan berkampung selama seminggu di Melaka.
"Justeru hal-hal berkaitan khususnya keselamatan, ketenteraman dan keamanan diserahkan kepada PDRM untuk menyelianya dalam membantu menjayakan agenda besar ini," katanya.
-- BERNAMA
#PDRM #Banda Hilir #jenayah sifar #Ab Rauf Yusoh
;