Kawasan pantai barat Semenanjung diramal terima hujan lebat
Hasimi Muhamad
November 21, 2020 14:03 MYT
November 21, 2020 14:03 MYT
KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan kawasan pantai barat Semenanjung akan menerima hujan lebat sepanjang Monsun Timur Laut (MTL).
Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Dr Aminuddin Hassim, berkata trend tersebut bagaimanapun dilihat sama dengan kejadian banjir pada 2019.
"Untuk kali ini kita dimaklumkan bahawa pantai barat akan menerima hujan yang agak lebat. Kita perlu melihat trendnya, (kali ini) baru banjir kilat sahaja tetapi kalau ia berlanjutan sehingga satu minggu, baru kita akan mulakan fasa bencana.
"Esok (Ahad) Johor, Sabah dan Sarawak (diramal) menerima hujan yang agak lebat dan banjir akan mula dan kita akan melihat trend itu macam mana.
"Menurut MetMalaysia, trend bagi tahun ini, Insya-Allah akan sama seperti banjir tahun 2019. Jadi, kita dapat mengandaikan macam mana perlu kita bertindak dan persiapan yang akan dilaksanakan," katanya kepada Astro AWANI, di sini pada Sabtu.
Terdahulu, MetMalaysia memaklumkan semasa fasa awal MTL, iaitu dari November sehingga Disember 2020, episod hujan lebat dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu dan Pahang.
Manakala mulai Januari 2021, episod hujan lebat dijangka lebih tertumpu di Pahang, Johor, Sabah dan Sarawak.
Bagi fasa kedua MTL iaitu mulai hujung Januari 2021, seperti biasa dijangka cuaca agak kering di negeri-negeri di utara Semenanjung (Kedah, Pulau Pinang dan Perlis) dan Kelantan
Bagaimanapun, Aminuddin berkata semua agensi yang terbabit dengan usaha dan operasi banjir berada dalam keadaan bersiap siaga bagi menghadapi MTL.
#pusat pemindahan
#Astro Awani
#Pahang
#banjir
#operasi
#Monsun Timur Laur
#Semenanjung Barat
#MetMalaysia