Kawasan operasi cari dan menyelamat mangsa bot karam diperluas
Bernama
Ogos 4, 2013 11:00 MYT
Ogos 4, 2013 11:00 MYT
Operasi mencari dan menyelamat 40 lagi mangsa bot pancung yang karam berhampiran Tanjung Siang, Kota Tinggi, Johor, Khamis lepas, diteruskan hari ini dengan kawasan pencarian diperluaskan ke 15 batu nautika utara dari tempat kejadian.
Ketua Penguatkuasa Maritim Daerah Tanjung Sedili Komander Maritim Amran Daud berkata operasi yang bermula 7 pagi tadi akan berakhir sehingga lewat petang dan disambung semula pagi esok, jika semua mangsa masih belum ditemui.
Operasi membabitkan seramai 30 anggota dengan tiga buah kapal dan dua bot milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), katanya.
Menurut Amran operasi semalam gagal menemui mangsa baharu namun berharap operasi hari ini akan berjaya berikutan cuaca baik.
"Usaha mencari dan menyelamat diteruskan juga pagi ini walaupun peluang untuk mereka hidup agak tipis sesudah tiga hari kejadian," katanya.
Dalam tragedi kira-kira 10 malam itu, bot pancung yang dipercayai membawa 44 pendatang tanpa izin warga Indonesia pulang untuk menyambut Aidilfitri ke Batam, karam di antara perairan Sedili dan Penawar setelah dipukul ombak besar.
Empat daripada mangsa bagaimanapun berjaya diselamatkan petang semalam oleh sekumpulan nelayan dan APMM manakala 40 lagi masih hilang.
Menurut Amran, bagi membendung insiden sama berlaku ketika musim perayaan ini pihaknya meningkatkan pemantauan dengan kerjasama pasukan Polis Marin.
"Kita tidak mahu mereka yang menyambut Aidilfitri nanti menjadi mangsa kepada bot karam, justeru usaha akan dipergiat untuk mengawasi situasi," katanya.