Kawasan kilang pemprosesan ayam bebas daripada pencemaran

Shuhada Abdul Kadir
September 4, 2019 16:53 MYT
Setakat tengah hari tadi, hanya 16 mangsa yang masih mendapatkan rawatan masing-masing 12 orang di Hospital Melaka dan empat lagi di Hospital Jasin. - Gambar fail/Astro AWANI

Polis mengesahkan kawasan kilang pemprosesan ayam di Merlimau, Melaka yang mengalami kebocoran gas amonia semalam, bebas daripada sebarang pencemaran .



Malah, ujar Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintendan Raiz Mukhliz Azman Aziz, pengesahan itu sekaligus menjadikan kawasan sekitar kilang termasuk penempatan penduduk setempat juga bebas pencemaran bahan kimia itu.


Beliau berkata perkara itu diumumkan berdasarkan pengesahan hasil operasi Pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) selepas selesai menjalankan kerja menutup kebocoran gas berkenaan dari saluran paip di bilik sejuk beku produk makanan kilang, pada jam 10.30 pagi tadi. 



Katanya, pasukan berkenaan mengambil masa lebih 12 jam dengan bertungkus-lumus bagi memastikan tiada lagi pencemaran selepas menjalankan kerja-kerja pelepasan saki baki bahan kimia yang terperangkap itu ke udara.


Jelasnya, pihak Hazmat berjaya menutup kebocoran gas terakhir di saluran paip pada jam 2.40 pagi tadi, sebelum meneruskan kerja-kerja mengukur bacaan pencemaran sehingga jam 7 pagi tadi.


“Saya ingin mengesahkan bahawa dengan pengesahan diberikan pasukan Hazmat dan pasukan lain, dan setelah perbincangan kita akan tutup pusat kawalan operasi ini dan membenarkan pasukan lain untuk masuk untuk periksa kali terakhir.
“Sekiranya ada, isunya hanya akan dibincangkan Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) dan kilang sama ada mereka akan menjalankan operasi kilang seperti biasa atau penangguhan sehingga ‘lampu hijau’ diberikan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.



Mengulas lanjut ujarnya, pengumuman itu sekali gus menjadikan operasi pusat kawalan yang dibuka sejak semalam di bahagian luar pagar kilang, ditutup serta-merta pada jam 11.30 pagi.


Astro AWANI pada Selasa melaporkan, kilang berkeluasan enam hektar itu terpaksa ditutup selepas berlaku kebocoran gas amonia pada salah satu dari lapan paip yang berada di bilik sejuk beku utama kilang ini, sekitar jam 11.30 pagi.
Kejadian itu menyebabkan, seramai 33 mangsa atau pekerja dikejarkan ke hospital selepas mengalami muntah, sakit mata dan sesak nafas.


Namun setakat tengah hari tadi, hanya 16 mangsa yang masih mendapatkan rawatan masing-masing 12 orang di Hospital Melaka dan empat lagi di Hospital Jasin. 



Kilang yang beroperasi sejak 2008 itu juga turut dikosongkan apabila kesemua 800 pekerja diarah untuk meninggalkan premis berkenaan segera. 


Mengulas mengenai status operasi kilang yang dihentikan sejak semalam ujarnya, makluman berhubung pengoperasian semula akan ditentukan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan pekerja (JKKP) serta Jabatan Alam Sekitar (JAS).



#Astro Awani #DOSH #Jabatan Alam Sekitar #JAS #kebocoran gas #Melaka #Merlimau #pencemaran
;