Kawasan kedai runcit digenangi air, pekedai tetap beroperasi
Bernama
Disember 27, 2023 18:29 MYT
Disember 27, 2023 18:29 MYT
TUMPAT: Meskipun kawasan kedai runcit digenangi air, peniaga Mohd Noor Ismail, 35, dari Kampung Kajang Sebidang di sini tetap beroperasi bagi membantu penduduk mendapatkan barangan keperluan.
Beliau berkata kawasan kedainya dinaiki air hampir satu meter akibat limpahan Sungai Golok sejak petang semalam.
"Masih ada penduduk kampung datang untuk membeli barangan keperluan kerana rata-rata tidak berpindah kerana sudah terbiasa dengan situasi banjir setiap tahun.
"Penduduk kampung datang menaiki bot kerana semua jalan sudah ditenggelami air. Kebetulan pintu kedai saya luas, bot boleh masuk rapat ke dalam kedai," katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.
Tinjauan Bernama di kampung itu mendapati penempatan tersebut bertukar menjadi seperti sebuah pulau akibat limpahan Sungai Golok.
Bercerita lanjut, Mohd Noor berkata untuk memudahkan urusan jual beli beliau tidak kisah meredah air banjir untuk meletakkan barangan yang dibeli pelanggan dalam bot mereka.
"Antara barangan keperluan menjadi tumpuan adalah seperti beras, lilin, gula, susu, kebiasaannya penduduk beli sebagai bekalan sepanjang tempoh seminggu.
"Ramai penduduk di sini tidak berpindah dan sebaik mereka tahu kedai saya masih beroperasi, ramai yang singgah untuk mendapatkan bekalan makanan dengan menggunakan bot," katanya.
Namun begitu Mohd Noor berkata beliau akan tidur di dalam kedainya kerana risau berlaku kejadian pecah masuk.
"Sepanjang musim banjir ini saya akan buka kedai ini selagi situasi tidak teruk," katanya
-- BERNAMA