Kawasan flat pekeliling dibangun sebagai pusat komersial

Bernama
Julai 1, 2013 05:14 MYT
Flat Pekeliling akan dibangunkan semula sebagai pusat komersial kerana lokasinya yang strategik dan memiliki nilai tanah yang tinggi, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata lokasi pembangunan semula Flat Pekeliling itu tidak sesuai dibangunkan dengan perumahan mampu milik.
"Sebaliknya ia lebih sesuai dibangunkan sebagai pusat komersial yang boleh menjana ekonomi negara yang selaras dengan Pelan Bandaraya 2020," katanya ketika menjawab soalan Datuk Johari Abdul Ghani (BN-Titiwangsa) pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.
Johari bertanyakan perkembangan pelan pembangunan semula Flat Pekeliling di Jalan Tun Razak dan sama ada tapak itu boleh dimajukan sebagai kawasan Projek Perumahan Rakyat, Perumahan Awam atau PR1MA bagi membantu masyarakat Kuala Lumpur memiliki kediaman mampu milik.
Tengku Adnan berkata projek pembangunan semula Flat Pekeliling merupakan projek kerajaan di bawah pemantauan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian, Unit Kerjasama Awam Swasta, Jabatan Perdana Menteri dan agensi kerajaan berkaitan.
#Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor #dibangun #Flat Pekeliling #komersial