Kawasan catat IPU tidak sihat menurun kepada 15 setakat 9 pagi

Bernama
September 16, 2015 03:16 MYT
Menurut portal Jabatan Alam Sekitar (JAS), Sri Aman mencatatkan bacaan IPU paling tinggi iaitu 171, meningkat daripada 169 malam tadi, diikuti Samarahan 147 daripada 140, Kuching 146 daripada 136, Sarikei 145 daripada 143 dan Sibu 132 daripada 121.
Keadaan jerebu di seluruh negara setakat 9 pagi ini semakin reda apabila hanya 15 kawasan masih mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat, berbanding 18 kawasan malam tadi.
Bagaimanapun beberapa kawasan di Sarawak mencatat peningkatan bacaan berbanding malam tadi.
Menurut portal Jabatan Alam Sekitar (JAS), Sri Aman mencatatkan bacaan IPU paling tinggi iaitu 171, meningkat daripada 169 malam tadi, diikuti Samarahan 147 daripada 140, Kuching 146 daripada 136, Sarikei 145 daripada 143 dan Sibu 132 daripada 121.
Sementara kawasan lain yang mencatat penurunan bacaan IPU termasuk Kemaman, Terengganu dan Balok Baru, Kuantan masing-masing 129.
Kawasan lain yang mencatatkan bacaan IPU tidak sihat ialah Paka (126), Tawau (125), Kapit (112), Jerantut (110), Shah Alam (108), Bintulu (103), Indera Mahkota (102) dan Kuala Terengganu (102).
Sementara itu, beberapa kawasan yang mencatatkan bacaan IPU tidak sihat semalam berubah kepada bacaan sederhana pagi ini antaranya Pelabuhan Klang (98), Petaling Jaya (98), Bandaraya Melaka (92), Muar (92), Banting (91), Batu Muda (90), Cheras (89), Pasir Gudang (88), Bukit Rambai (84), Larkin Lama (82) dan Putrajaya (81).
Pembenihan awan oleh Bahagian Sains Atmosfera dan Pembenihan Awan, Jabatan Meteorologi Malaysia, selama tiga hari bermula semalam diteruskan hari ini dengan memfokuskan operasi tersebut di bahagian utara Johor, Negeri Sembilan, Melaka, Lembah Klang dan Kuching.
Menurut sumber daripada Jabatan Meteorologi, perancangan awal pembenihan awan pada hari kedua dijangka dilakukan antara 12 tengah hari dan 2 petang ini, namun ia bergantung kepada keadaan cuaca dan awan yang sesuai.
Dua pesawat Hercules C130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia berpangkalan di Subang dan Kuching digunakan dalam operasi itu.
IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 adalah sederhana, 101 hingga 200 adalah tidak sihat, 201 hingga 300 adalah sangat tidak sihat dan 300 ke atas adalah berbahaya.
Orang ramai boleh merujuk portal http://apims.doe.gov.my untuk mengetahui bacaan IPU semasa.
#Indeks Pencemaran #IPU #jerebu #tidak sihat