'Kawanku', peranti bantu warga emas nyanyuk
Rahimah Abdullah
Disember 8, 2018 14:54 MYT
Disember 8, 2018 14:54 MYT
Universiti Malaya (UM) berjaya mencipta alat peranti khas untuk warga emas berdikari terutama mereka yang mengalami penyakit dementia atau nyanyuk.
'Kawanku' berpotensi membantu warga emas menjalani aktiviti harian melalui maklumat dan arahan audio secara automatik.
Peranti prototaip itu adalah hasil ciptaan sekumpulan penyelidik yang diketuai Prof. Dr. Noor Hayaty Abu Kasim dari Fakulti Pergigian dan turut dibantu Prof. Madya Chan Chee Seng dari Fakulti Sains Komputer dan teknologi Maklumat.
Ia turut mendapat kerjasama Alzheimer Disease Foundation Malaysia (ADFM).
'Kawanku' dilengkapi dengan kamera yang disertakan aplikasi Kepintaran Buatan (AI).
Aplikasi itu akan mengenalpasti setiap objek dalam rumah dan memberi arahan suara kepada warga emas yang mengalami masalah dementia.
Alat itu hanya digantung di leher dan hanya tunggu suara rakaman yang akan memberi arahan seterusnya.
"Sebagai contoh apabila kamera AI ini ternampak televisyen, dia akan akan kata ini adalah televisyen. Kalau arahan suara berkenaan boleh ditambah dengan 'ini drama kegemaran emak pada pukul 7'," katanya yang ditemui selepas Majlis Penutup Penyandang Ketiga Kursi Dr Siti Hasmah Mohamad Ali di sini.
Peranti ini juga berpotensi untuk memaklumkan kepada keluarga terdekat jika seorang warga emas dalam keadaan pegun di rumah atau hilang.
Melalui ciptaan alat ini juga, anak-anak tidak lagi perlu risau untuk menjaga warga emas yang mengalami Dementia atau mengelak menempatkan mereka di rumah penjagaan khas.
Projek 'Kawanku' dimulakan sejak 2015 dan membuka peluang kepada mana-mana pemain industri yang berminat untuk bekerjasama memajukan prototaip berkenaan.
Dalam pada itu, Prof. Dr. Noor Hayaty, berkata, 'Kawanku' membantu warga emas untuk lebih berdikari dan menjadi alat sokongan dalam menjalani kehidupan seharian.
"Kita boleh membantu warga emas untuk hidup secara berdikari. Jadi dengan itu kita memperkasakan mereka untuk mengawal diri dan berdikari. Selalunya mereka tidak suka dibantu sangat, mereka lebih suka kalau hidup sendiri. Jadi, alat ini boleh membantu warga emas duduk dalam persekitaran yang dia biasa.
Pada masa sama, idea penciptaan peranti ini akan memastikan keselamatan warga emas dan seluruh keluarga yang berada dalam sebuah rumah," katanya.
"Contohnya, di dapur macam mana nak bantu warga emas ini. Nak masak nasi, macam mana, jangan lupa plug in dan sebagainya. Jadi ia sebagai bantuan dan boleh integrate dengan sistem lain. Kita harap apabila bekerja dengan pihak industri kita akan tingkatkan lagi keberkesanannya," ujar beliau.
Pakej Peranti 'Kawanku' ini juga mampu dimiliki iaitu pada harga RM100 apabila ia berjaya dipasarkan.
#2015
#Alzheimer
#Dementia
#hilang
#keluarga
#keselamatan
#Malaysia
#nyanyuk
#peranti
#prototaip
#rumah
#UM
#warga emas