Kawan Food gantung sementara operasi susulan kes positif COVID-19

Bernama
Jun 14, 2021 04:44 MYT
Kawan Food Bhd menggantung operasinya buat sementara waktu berikutan 78 kes positif COVID-19 disahkan dalam kalangan pekerja. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kawan Food Bhd menggantung operasinya buat sementara waktu berikutan 78 kes positif COVID-19 disahkan dalam kalangan pekerja bahagian operasi anak syarikat milik penuhnya, Kawan Food Manufacturing Sdn Bhd.
Dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu berkata ia menerima surat daripada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menggantung operasinya bermula Isnin hingga 21 Jun, 2021.
Syarikat itu berkata ia telah melaksanakan semua prosedur operasi standard (SOP) yang diperlukan di bahagian operasi, premis dan asrama termasuk penjarakan fizikal, pemeriksaan suhu, penjagaan kebersihan yang betul, penggunaan peralatan perlindungan diri (PPE), sanitasi yang kerap dan mengehadkan lawatan daripada orang luar.
"Tertakluk kepada arahan selanjutnya daripada KKM, kilang tersebut dijangka menyambung semula operasi secara berperingkat bermula 22 Jun, 2021. Kilang pengeluaran di China tidak terjejas dan beroperasi sepenuhnya," katanya.
-- BERNAMA
#COVID-19 #kes positif #SOP #Kawan Food #KKM #Kementerian Kesihatan #Pekerja
;