Kawalan sempadan sentiasa diperketat, elak suspek jenayah bolos - Polis

Wanna Abd Rahim
Januari 9, 2023 09:00 MYT
Datuk Muhamad Zaki Harun (tengah) ketika Majlis Penyampaian Sumbangan Bantuan Banjir RHB Bank kepada mangsa banjir Daerah Pasir Mas. - Astro AWANI
PASIR MAS: Polis sentiasa mengawal sempadan negara bagi memastikan suspek yang terlibat dalam kegiatan jenayah di selatan Thailand tidak sewenang-wenangnya menceroboh masuk ke negeri ini.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, kawalan sempadan yang ketat telahpun berjaya menumpaskan cubaan sindiket yang mahu membawa masuk dadah ke negeri ini.
"Kita masih tidak menerima maklumat berkaitan suspek berhubung kejadian serangan bom di daerah Muang Narathiwat pada 22 November tahun lalu, namun kawalan tetap seperti biasa.
"Bukan sahaja insiden yang berlaku di Thailand, namun kawalan tetap akan dilakukan seperti biasa.
"Dari segi lapisan sempadan pada lapisan pertama, kedua dan ketiga ia masih berterusan seperti biasa.
"Walaupun mungkin dalam keadaan sempadan berdepan banjir, ada sedikit kesukaran, namun kita masih mampu buat yang terbaik," katanya pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Bantuan Banjir RHB Bank kepada mangsa banjir Daerah Pasir Mas, disini, petang semalam.
Muhamad Zaki berkata, jika ada permohonan daripada Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, pihaknya akan mengambil tindakan yang sewajarnya dalam menangani kemasukan jenayah di sempadan negeri ini.
Untuk rekod, dua daripada sembilan suspek dalam serangan bangunan kediaman polis Narathiwat ditahan
terlibat dalam serangan bom di daerah Muang Narathiwat pada 22 November tahun lalu.
Tujuh lagi suspek yang dikehendaki bagi serangan bom kereta ke atas bangunan kediaman polis itu dikenal pasti sebagai Hasbuloh Sani, Abdulmathin Maha, Abdulhafish Duereh, Wari Sapadi, Isal Saleh, Saipurusman Maha, dan Muhamadhafish Jehduerameh.
Serangan itu telah membunuh seorang anggota polis, mencederakan 25 anggota polis dan ahli keluarga mereka yang tinggal di bangunan itu, dan merosakkan 70 bilik pangsapuri.
Dalam perkembangan lain, polis akan membuat perancangan yang lebih baik bagi menangani masalah banjir di negeri ini.
Muhamad Zaki berkata, pihaknya akan menangani kelewatan banjir yang berlaku sebelum ini dan memastikan agar peralatan dan komunikasi menjadi lebih pantas dan lebih cekap di masa depan.
"Bagi banjir yang berlaku sebelum ini memang ada mangsa yang terperangkap kerana air naik dalam keadaan tidak dijangka. Pada peringkat awal mungkin tidak tahu ia akan berlaku namun, air naik secara mendadak, itu yang berlaku
"Ada penduduk, kawasan rumah mereka sebelum ini tidak pernah dinaiki air dan naik dalam keadaan biasa menyebabkan mereka rasa tidak perlu pindah, namun kali ini berlaku banjir di luar jangka, jadi kita tidak boleh menyalahkan mereka.
"Cuma bagi menangani masalah ini, supaya penduduk perlu bersedia, kepada siapa yang mereka perlu hubungi agar keadaan tidak menjadi kelam kabut.
"Kalau persediaan itu dah ada, dibantu pula dengan pihak polis pergi memantau juga bencana negeri pergi melihat, saya percaya kelemahan ini dapat diatasi," katanya.
#selatan thailand #Muhamad Zaki Harun #jenayah #menceroboh
;