Kawalan sempadan: KDN teroka teknologi baharu, kecerdasan buatan - Saifuddin
Abd Hadi Che Awang
April 25, 2023 17:52 MYT
April 25, 2023 17:52 MYT
BUKIT KAYU HITAM: Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang meneroka penggunaan teknologi baharu serta inovasi termasuk penggunaan dron dan kecerdasan buatan (AI) dalam penugasan pihak berkuasa mengawal sempadan negara.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata ia susulan beberapa kekangan dalam membina pagar sempadan Malaysia-Thailand yang baharu, terutama melibatkan kos disebabkan jarak terlalu panjang.
Jelas beliau, penggunaan teknologi itu mampu membantu pasukan keselamatan negara untuk menangani masalah berkaitan penyeludupan dan jenayah rentas sempadan yang lain.
Tambah Saifuddin, pihaknya juga akan memberikan penumpuan kepada kehadiran fizikal pasukan keselamatan dalam aspek kawalan kawasan sempadan.
"(Tumpuan di KDN) bukan hanya (libatkan) soal pemasangan pagar (sempadan), (tetapi) ruang (penggunaan) kepada inovasi dan teknologi.
"(Contohnya adalah seperti penggunaan) dron kawalan, (malahan) sekarang (ini) ada kamera litar tertutup (CCTV) di beberapa lokasi strategik dan aspek dron (yang saya sebutkan tadi) itu antara (teknologi) yang (kita) terokai," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Lawatan Hari Raya dan Penyampaian Sumbangan Menteri Dalam Negeri di Markas Taktikal (Martak), Bukit Kayu Hitam pada Selasa.
Sebelum ini, kerajaan menerusi KDN menyatakan akan membuat kajian mengenai usaha menaik taraf dan pembaikan pagar sempadan Malaysia-Thailand yang difahamkan berada dalam keadaan yang uzur dan rosak.
Ia bertujuaan untuk memastikan dan menjamin keselamatan di kawasan berkenaan dari semasa ke semasa.