KOTA BHARU:Kawalan keselamatan di sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan akan dipertingkat susulan insiden seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) maut ditembak ketika bertugas di Perlis semalam.

Ketua Polis Kelantan DCP Shafien Mamat berkata setiap anggota dan agensi terlibat di pos sempadan di negeri itu juga diingatkan supaya lebih berhati-hati ketika melaksanakan tugas.

"Dalam kita melaksanakan undang-undang, kita juga perlu siapkan diri dengan kelengkapan lain.

"Alhamdulillah, kawalan sempadan di Kelantan berjalan lancar dan agensi di sempadan turut memberi kerjasama dalam menangani sebarang perkara," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Khas Negeri Kelantan di Kota Darulnaim hari ini.

Dalam insiden awal pagi semalam, Koperal Baharuddin Ramli, 54, terbunuh manakala rakannya Koperall Norihan a/l Tari, 39, cedera parah selepas berbalas tembakan dengan sekumpulan penyeludup kira-kira 600 meter dari pos kawalan TS9 di Padang Besar, Perlis.

-- BERNAMA