Kawalan produk rokok: Akta 852 dikuatkuasakan secara berhemah - Dzulkefly
Bernama
Oktober 1, 2024 16:05 MYT
Oktober 1, 2024 16:05 MYT
PUTRAJAYA: Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) akan dikuatkuasakan secara berhemah dan munasabah, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Akta yang diwartakan 2 Feb lepas telah mula berkuat kuasa hari ini serentak bersama Peraturan-Peraturan dan Perintah di bawahnya.
"Saya yakin penguat kuasa KKM (akan) ambil pendekatan berhemah supaya kerelaan dan kesediaan mereka yang terlibat dalam industri ini memahami kita (kerajaan) lakukan semua ini adalah untuk kebaikan kesihatan generasi muda," katanya kepada media selepas majlis sambutan Hari Warga Emas peringkat Kementerian Kesihatan, di sini hari ini.
Dzulkefly berkata terdapat dua aspek dalam pelaksanaan akta tersebut iaitu serta-merta dan penguatkuasaan pendidikan, agar wujud suasana saling menghormati undang-undang dan hak terutama dalam penjualan produk tembakau rokok elektronik atau vape kepada kanak-kanak bawah umur.
Beliau berkata antara cabaran ialah mengenal pasti umur pembeli serta kesukaran memastikan individu yang membeli produk tembakau ialah orang belum dewasa (OBD).
Penguatkuasaan serta-merta bermula hari ini melibatkan penjualan produk merokok yang berbentuk permainan dan menarik perhatian kanak-kanak serta remaja bertujuan mengekang kebolehdapatan produk tersebut.
Dzulkefly berkata hal itu kerana KKM memandang serius kesan buruk amalan merokok berleluasa termasuk promosi pemasaran kurang beretika yang menyasarkan golongan berkenaan.
Selain itu, peruntukan akta juga melibatkan pengiklanan, promosi dan tajaan semua jenis produk merokok serta berkaitan tempat larangan penjualan produk merokok seperti institusi pendidikan, pasar jualan dalam talian dan mesin layan diri.
Penguatkuasaan pendidikan pula akan dilaksanakan dahulu bagi tempoh enam hingga 12 bulan daripada tarikh kuat kuasa bagi aspek seperti pendaftaran produk merokok yang akan dikuatkuasakan bermula 1 April 2025, kawalan jualan termasuk pameran di kaunter jualan (1 April 2025) serta pembungkusan dan pelabelan (1 Okt 2025).
-- BERNAMA
#Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024
#Akta 852
#Dzulkefly Ahmad
#dikuatkuasakan secara berhemah dan munasabah
#Kementerian Kesihatan