Kawalan ketat pintu masuk negara atasi penularan zika

Anthea Yap
Mei 15, 2016 12:56 MYT
Orang biasa tidak perlu mengambil saringan itu dan yang penting ialah orang yang mengandung ini kita bimbang sebab sudah berlaku di Brazil kes Zika ini. - Gambar fail
Kerajaan meningkatkan kawalan ketat di semua pintu masuk antarabangsa ke negara berikutan jangkitan virus Zika dilaporkan di Singapura, Jumaat lalu.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya berkata pemantauan ketat juga dilaksanakan di pintu masuk jalan darat dari negara jiran.
Jelasnya, Kementerian sudah pun menambah pegawai kesihatan di semua pintu masuk di sempadan Tambak Johor.
Selain itu, Kementeriannya turut mengawal pintu masuk jalan darat dari Indonesia dan Thailand.
"Kalau berlaku macam ini, kita akan menambah pasukan kita untuk membuat pemeriksaan dan tambahan di pintu masuk kita.
Sekarang ini kes Zika berlaku di Singapura, di mana Pejabat Kesihatan kita di Johor Baharu akan mengambil tindakan berjaga-jaga di semua pintu masuk kita", katanya selepas merasmikan Hari Kesihatan Sedunia dan Bulan Pemakanan Peringkat Wilayah Persekutuan di sini.
Sehingga Mei tahun ini, saringan dilakukan terhadap 89,640 pelawat dari negara yang merekodkan kes virus zika di pintu masuk udara, laut dan darat Malaysia.
Sehingga kini, masih belum ada pelawat yang disyaki dijangkiti dengan virus pembunuh itu.
"Kita akan teruskan saingan kita dengan mengambil pemeriksaan sampel darah dan bukan setiap kes Denggi akan dibuat tetapi kita ambil darah itu untuk mengenalpasti sama ada ia ada virus Zika atau tidak.
Bagaimanapun, orang biasa tidak perlu mengambil saringan itu dan yang penting ialah orang yang mengandung ini kita bimbang sebab sudah berlaku di Brazil kes Zika ini.
Ia boleh menyebabkan kerosakan otak bayi yang dikenali sebagai Mikrosefali iaitu bayi yang dilahirkan dengan kepala kecil", katanya disini.
Sebelum ini, seorang lelaki berstatus penduduk tetap Singapura berusia 48 tahun dilaporkan dijangkiti virus Zika, kes pertama yang dikesan di repulik itu.
Kementerian Kesihatan Singapura mengesahkannya, yang mana pesakit terbabit dijangkiti virus Zika selepas melawat Sao Paulo, Brazil pada 27 Mac hingga 7 Mei lalu.
#Dr.Hilmi Yahaya #Jumaat lalu #Kerajaan meningkatkan kawalan ketat di semua pintu masuk antarabangsa ke negara berikutan jangkitan virus Zika dillaporkan di Singapura
;