Kawalan keselamatan di Parlimen pada tahap tertinggi
Bernama
Mac 23, 2017 15:54 MYT
Mac 23, 2017 15:54 MYT
Kawalan keselamatan di bangunan Parlimen adalah terjamin dan sentiasa berada pada tahap tertinggi, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.
Beliau berkata bilangan anggota yang melakukan kawalan di bangunan itu, yang kini berlangsung persidangan Dewan Rakyat, adalah mencukupi.
"Polis juga sentiasa bersiap sedia dan menyedari terhadap apa jua ancaman," katanya pada sidang media di Bukit Aman di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tahap keselamatan di bangunan parlimen susulan insiden serangan di luar bangunan Parlimen Britain yang mengakibatkan kira-kira 10 cedera termasuk anggota polis.
Media asing melaporkan, seorang anggota polis ditikam, penyerang ditembak dan beberapa orang awam cedera dalam insiden yang dilabel sebagai serangan pengganas.
Perdana Menteri Britain Theresa May yang sedang bersidang di bangunan Parlimen itu dilaporkan selamat.
Sementara itu, ditanya perkembangan mengenai Ibrahim Mat Zin atau dikenali sebagai Raja Bomoh, Khalid berkata pihaknya akan membuat tangkapan sekiranya Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) membuat laporan berhubung perbuatan dan perlakuan lelaki itu.
"Dia (Raja Bomoh) dipanggil (oleh polis) untuk bantu siasatan dan setakat ini dia masih belum ditahan," katanya.
Menurut Khalid, polis menerima beberapa laporan mengenai perbuatan ritual lelaki itu yang berasal dari Teluk Intan, Perak apabila dikatakan telah merosakkan imej agama Islam.
Siasatan terhadap Ibrahim dilakukan mengikut Seksyen 111 Kanun Prosedur Jenayah.
Pada 19 Mac lepas, polis meminta Ibrahim tampil memberi keterangan berhubung upacara perbomohan yang dilakukannya, konon untuk 'memagar' Malaysia daripada ancaman negara asing khusus Korea Utara.
-- BERNAMA