Kawalan harga: Kerajaan laksanakan SHMMP2023 sempena Pesta Kaamatan, Hari Gawai

Bernama
Mei 23, 2023 15:30 MYT
Salahuddin berkata SHMMP hanya berkuat kuasa di Sabah, Sarawak dan Labuan sahaja dan tempoh pelaksanaannya bersesuaian dengan keadaan semasa. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Pesta Kaamatan dan Hari Gawai 2023 melibatkan lapan barangan bagi tempoh 27 Mei hingga 2 Jun untuk Pesta Kaamatan dan 29 Mei hingga 4 Jun (Hari Gawai).
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata SHMMP hanya berkuat kuasa di Sabah, Sarawak dan Labuan sahaja dan tempoh pelaksanaannya bersesuaian dengan keadaan semasa sekali gus, memberi manfaat kepada pengguna dan peniaga.
"Selain itu, enam jenis barangan daripada kategori ayam dan telur sedang dikawal di bawah penentuan Harga Maksimum Ayam dan Telur Ayam yang sedang berkuat kuasa sejak 5 Feb 2022.
"Senarai barangan, paras harga maksimum dan tempoh pelaksanaan ditentukan berdasarkan beberapa faktor seperti cuaca, ekonomi global, kadar tukaran wang asing, kadar upah dan permintaan serta penawaran," katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.
Barangan yang dikawal di bawah SHMMP bagi perayaan Pesta Kaamatan adalah kepak ayam, cili kering leper, daging kerbau import, bawang kecil merah, bawang putih, babi hidup, daging babi (perut) dan daging babi (daging dan lemak).
Bagi perayaan Hari Gawai, lapan barangan itu adalah ayam tua hidup, kepak ayam, bawang putih, kubis bulat import, ubi kentang import, babi hidup, daging babi (perut) dan daging babi (daging dan lemak).
Salahuddin berkata penentuan harga bagi barangan itu dibuat selepas mengambil kira padangan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), agensi-agensi kerajaan dan pemain industri.
Menurutnya, berdasarkan pemantauan semasa dan analisa KPDN, barangan tersebut dipercayai akan berada di paras harga yang lebih tinggi sekiranya tidak dikawal berikutan peningkatan permintaan pada musim perayaan.
"SHMMP Pesta Kaamatan dan Hari Gawai 2023 akan dikuatkuasakan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 dan membolehkan penentuan harga dibuat. Harga maksimum yang telah ditetapkan di bawah skim ini boleh disemak melalui laman web KPDN di www.kpdn.gov.my.
"Kementerian sentiasa menjalinkan kerjasama dengan KPKM bagi memastikan bekalan barangan yang dikawal adalah mencukupi sepanjang tempoh pelaksanaan skim," katanya.
Salahuddin berharap agar semua pihak dapat mematuhi harga-harga yang telah ditetapkan dan menggunakan label merah jambu bagi barangan yang dikawal, serta tindakan akan diambil di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 bagi peniaga yang melakukan kesalahan.
"Jika didapati ada peniaga yang tidak mematuhi undang-undang berkenaan dengan skim ini pengguna boleh salurkan aduan kepada KPDN melalui aplikasi telefon pintar Ez ADU e-mel ke e-aduan@kpdn.gov.my atau WhatsApp ke talian 019-2794317," katanya.
-- BERNAMA
#SHMMP #Salahuddin Ayub #Hari Gawai #Pesta Kaamatan
;