Kawal emosi jika tersangkut dalam kesesakan lebuh raya - PLUS
Wan Syamsul Amly
Januari 24, 2020 16:00 MYT
Januari 24, 2020 16:00 MYT
Pemandu yang hendak pulang ke kampung perlu mengawal emosi seandainya tersangkut dalam kesesakan di lebuh raya.
Ketua Kecemerlangan Operasi PLUS Malaysia Berhad (PLUS), Mohd Yusuf Abdul Aziz berkata, ia elemen penting selain memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik dan memastikan baki kad Touch 'n Go mencukupi sebelum memulakan perjalanan.
"Bila kita berada dalam kesesakan, paling penting yang perlu dijaga adalah emosi.
"Jangan potong barisan menggunakan laluan kecemasan. Patuhi arahan semasa sepanjang perjalanan,
di kawasan sesak kita letak anggota tambahan, termasuk anggota beruniform.
"Patuhi arahan semasa, kita sentiasa berusaha menyurai trafik di kawasan kesesakan," katanya ketika ditemui di sini, pada Jumaat.
Sebelum ini, Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail menjelaskan, pengguna Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) berpeluang menikmati diskaun tol sebanyak 20 peratus pada 25 Januari ini sempena Tahun Baharu Cina.
Katanya, pengguna lebuh raya akan diberikan diskaun tol sebanyak 20 peratus ketika membayar tol antara jam 12 tengah malam hingga 11:59 malam.
Dalam pada itu kata Mohd Yusuf, PLUS turut menyediakan kopi di kawasan rehat terpilih dan mendapat rehat secukupnya di hentian rawat dan rehat sebelum memulakan semula perjalanan
Tambahnya, orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik
#Azman Ismail
#Kawasan Rehat dan Rawat
#Lebuhraya Pantai Timur 2
#LPT2
#Pantai Timur
#PLUS
#Plusline
#Tahun Baru Cina
#tol
#Twitter