Kawal dan komunikasi, dua elemen elak anak terjerumus dalam penipuan internet
Madiha Abdullah
Februari 24, 2021 14:02 MYT
Februari 24, 2021 14:02 MYT
KUALA LUMPUR: Peranan ibu bapa sangat diperlukan bagi memastikan kanak-kanak tidak terjebak dalam masalah penipuan atau scam dalam talian.
Pesuruhjaya Kanak-kanak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Pof. Datuk Noor Aziah Mohd Awal berpendapat, kurang mahir menggunakan internet bukan alasan untuk tidak memantau setiap perlakuan dan tindak tanduk anak-anak.
"Bukan sahaja di Malaysia, di mana-mana negara pun, kebiasaannya, anak-anak lebih mahir menggunakan internet dan aplikasi.
"Apa yang penting ialah aspek komunikasi antara ibu bapa dan anak-anak. Ini perkara yang perlu diperkukuhkan sebenarnya.
"Adakalanya, kerana adanya internet, komunikasi dua hala itu sudah tidak berlaku. Ibu bapa pakai WhatsApp sahaja dengan anak-anak, anak-anak pula, kalau nak tahu tentang sesuatu, cari di internet.
"Tetapi itu tidak bermakna komunikasi tak perlu. Ibu bapa ada tanggungjawab untuk memberi penerangan kepada anak-anak tentang satu-satu perkara kerana ada masanya, anak-anak sendiri tidak tahu yang maklumat yang mereka miliki itu tidak selamat atau tidak tepat," katanya ketika ditemubual dalam Buletin AWANI.
Beliau juga menegur sikap ibu bapa yang mengambil mudah dan hanya menyerahkan sahaja telefon pintar kepada anak-anak tanpa banyak soal.
"Kalau boleh, ibu bapa perlu mendalami ilmu bagaimana mahu trace kembali apa yang dilayari anak-anak di internet.
"Letak juga had-had tertentu, seperti kawalan dalam penggunaan data internet. Sebagai contoh, kalau anak-anak nak tengok sesuatu, muat turun ke telefon bagi memudahkan kita sebagai ibu bapa untuk pantau," katanya lagi.
Kajian oleh Google Malaysia sebelum ini mendapati, kanak-kanak tidak terkecuali daripada menjadi mangsa jenayah penipuan atau scammer di media sosial.
Hasil kajian itu mendapati 36 peratus ibu bapa di Malaysia melaporkan perkara tersebut berlaku sepanjang tahun lalu.
Institusi Keluarga | Kanak-kanak mangsa scam, bagaimana menanganinya?