Kaunter Program Repatriasi Migran dilanjut operasi pada 21 dan 28 Disember ini - KP JIM

Bernama
Disember 16, 2024 17:09 MYT
Datuk Zakaria Shaaban (dua, kiri) ketika hadir meninjau pembukaan kaunter Program Repatriasi Migran di Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya hari ini. - Bernama
PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan membuka kaunter Program Repatriasi Migran pada dua Sabtu terakhir bulan ini, iaitu pada 21 dan 28 Disember di seluruh negara bagi membolehkan lebih ramai pendatang tanpa izin mendaftarkan diri dalam program berkenaan dan dihantar pulang.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata dengan pengoperasian kaunter pada dua hari berkenaan, dijangka permohonan tambahan 4,000 pendatang tanpa izin dapat diproses.
"Hingga kini sebanyak 216,471 pendatang tanpa izin dari 111 negara telah berdaftar dalam program ini dan 186,107 telah dihantar pulang setakat 12 Disember lepas, empat negara tertinggi rakyat yang dihantar pulang melibatkan Indonesia, Bangladesh, Myanmar dan Nepal.
"Semua yang berdaftar dalam program ini telah mendapat tarikh janji temu masing-masing dan dijangka pada 31 Disember ini kita dapat selesaikan semuanya," katanya ketika ditemui Bernama selepas melakukan tinjauan program berkenaan di ibu pejabat Jabatan Imigresen di sini hari ini.
Kaunter bagi program itu sebelum ini hanya dibuka mengikut waktu operasi biasa pejabat.
Zakaria berkata pihaknya turut akan mengadakan perbincangan dengan Menteri Dalam Negeri berhubung permintaan daripada pihak kedutaan negara asing agar tempoh program berkenaan dilanjutkan dan kuota ditambah supaya lebih ramai pendatang tanpa izin dapat pulang secara sukarela.
Beliau berkata pendatang tanpa izin yang ingin pulang ke negara asal melalui program sukarela itu hanya dikenakan denda sebanyak RM500 selain dikehendaki mempunyai tiket perjalanan pulang ke negara masing-masing yang masih sah.
"Denda berkenaan turut dikenakan terhadap anak pendatang tanpa izin yang lahir di sini jika mereka dibawa pulang oleh ibu bapa yang menyertai program ini," katanya dan menambah mereka yang menyertai program ini akan disenaraihitamkan daripada memasuki negara sama ada sebagai pekerja asing mahupun pelancong.
Zakaria berkata rata-rata pendatang tanpa izin menyertai Program Repatriasi Migran berikutan tidak mahu dikenakan tindakan undang-undang sekiranya ditahan dalam operasi-operasi penguatkuasaan yang dijalankan JIM.
"Sekiranya mereka ditahan dalam operasi penguatkuasaan yang dijalankan oleh JIM, kadar denda yang perlu mereka bayar adalah tinggi berjumlah RM3,000, maka lebih baik mereka mengikuti program ini," katanya.
Sementara itu, seorang pendatang tanpa izin yang hanya mahu dikenali sebagai Rahimah, 46, berkata dia menyertai program berkenaan kerana ingin pulang ke Jogjakarta, Indonesia bagi membolehkan dua anaknya yang berusia 11 dan lapan tahun bersekolah.
Katanya, dia masuk ke negara ini sebagai pekerja asing dalam sektor pembersihan pada 12 tahun lepas, kemudian berkahwin dan mempunyai tiga anak.
"Anak saya tidak ada permit. Saya telah cuba memohon permit melalui seorang ejen, tetapi telah ditipu walaupun saya telah membayar wang lebih RM12,000.
"Disebabkan tidak mempunyai permit, mereka tidak boleh bersekolah di sini, tetapi mereka mempunyai sijil kelahiran, jadi saya ikut program ini untuk saya dan anak-anak balik ke Jogjakarta supaya mereka boleh bersekolah dan menimba ilmu," katanya.
-- BERNAMA
#Program Repatriasi Migran #pendatang tanpa izin #Imigresen #penghantaran pulang
;