Kaunter pendaftaran vaksin di masjid mudahkan urusan penduduk Kelantan

Bernama
Jun 23, 2021 11:12 MYT
Zainuddin (kanan) meninjau proses pendaftaran penerima suntikan vaksin secara manual pada Program Outreach Pendaftaran Suntikan Vaksin COVID-19 di Masjid Saadatul Ikhwan, Kampung Penambang, Kota Bharu, 22 Jun, 2021. --fotoBERNAMA
KOTA BHARU: Inisiatif pendaftaran suntikan vaksin COVID-19 di Masjid Saadatul Ikhwan, Kampung Penambang di sini memberi kemudahan kepada penduduk setempat yang menghadapi kekangan untuk mendaftar menerusi aplikasi MySejahtera.
Seorang penduduk Sakinah Mat, 49, dari Kampung Penambang berkata inisiatif itu membantunya mendaftar secara manual kerana tidak begitu berpengetahuan tentang cara pendaftaran melalui MySejahtera.
"Anak sulung saya Mohd Firdaus Che Mohd, 28, ada menawarkan untuk membantu saya mendaftar namun saya tidak mahu menyusahkannya kerana dia bekerja di Singapura.
"Namun dengan adanya inisiatif program pendaftaran suntikan vaksin secara manual ini dalam komuniti sekali gus dapat memudahkan serta menyelesaikan urusan pendaftaran saya serta suami Mohd Din Che Mohd (62 tahun)," katanya ketika ditemui Bernama di Masjid Saadatul Ikhwan, Kampung Penambang.
Seorang warga emas Wan Soh Wan Ahmad, 64, dari Kampung Siti Manis, berkata dia tidak mempunyai telefon bimbit untuk mendaftar menerusi aplikasi MySejahtera.
Katanya dia mengetahui tentang program pendaftaran secara manual yang diadakan di Masjid Saadatul Ikhwan itu menerusi siaran radio Kelantan FM semalam.
"Saya turut mendaftarkan suntikan vaksin untuk anak kedua saya Suhaini Abdul Rashid, 43, yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) intelektual. Malah, saya berharap dengan adanya inisiatif mendaftar dalam komuniti ini akan memudahkan saya untuk menerima vaksin di kawasan sekitar ini juga nanti," katanya.
Sementara itu, Penghulu Mukim Penambang Zainuddin Zakaria, 54, berkata Program Outreach Pendaftaran Vaksin COVID-19 dalam komuniti tersebut dilaksanakan bagi membantu meningkatkan pendaftaran dalam kalangan masyarakat di mukim berkenaan yang membabitkan penduduk sembilan kampung yang masih lagi belum mendaftar sebagai penerima vaksin.
"Setakat semalam, kita sudah membantu mendaftarkan lebih 1,300 penduduk dan hingga petang iaitu hari terakhir ini kita menyasarkan hampir 1,500 penduduk lagi akan mendaftar secara manual untuk menerima vaksin," katanya.
Penyelaras Program Outreach Pendaftaran Vaksin COVID-19 dalam komuniti negeri Kelantan Mohd Nasir Mohd Noor berkata program di Masjid Saadatul Ikhwan, Kampung Penambang itu merupakan program kedua yang diselaraskan oleh pihaknya di negeri berkenaan.
"Program ini akan dilaksanakan sekiranya mendapat permintaan daripada penduduk atau penghulu, namun kita akan membuat penilaian terlebih dahulu. Sebelum ini kita telah laksanakan di Pondok Terusan Pasir Tumboh yang melibatkan seramai 540 penduduk pada 15 dan 16 Jun lalu.
"Setakat ini, menerusi penilaian kami melalui program outreach yang diadakan ini, hampir 60 peratus penduduk di lokaliti terlibat tidak mendaftar menerusi aplikasi MySejahtera kerana menghadapi pelbagai kekangan termasuk tidak memiliki telefon bimbit dan sebagainya.
"Pihak kami berharap dengan adanya inisiatif ini dapat meningkatkan peratusan pendaftaran penerima vaksin di negeri ini, sekali gus membantu masyarakat untuk mendapatkan suntikan vaksin dengan lebih cepat," katanya.
-- BERNAMA
#warga emas #OKU #COVID-19 #vaksin #suntikan #MySejahtera #Kota Bharu #Masjid Saadatul Ikhwan #outreach #Penambang #Kelantan FM #Kelantan #radio #daftar secara manual #masjid
;