Kaunter pandu lalu memudahkan pembayaran zakat fitrah
Anthea Yap
Julai 12, 2015 21:20 MYT
Julai 12, 2015 21:20 MYT
Kaunter pandu lalu zakat fitrah yang beroperasi di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini menarik perhatian orang ramai khususnya penduduk di sekitar kawasan itu.
Ia nyata memudahkan mereka yang membayar zakat dengan cepat tanpa perlu ke kaunter.
Menurut Amil di masjid tersebut, Hasyir Rosly, sejak 2011 jumlah kutipan zakat meningkat 70 peratus ke 80 peratus setiap tahun dengan operasi kaunter pandu lalu itu.
Setiap Amil yang bertugas mengikut sistem penggiliran berjadual di kaunter itu akan memegang 90 buku resit sepanjang bulan Ramadan, dan lazimnya ia habis digunakan.
"Kaunter pandu lalu ini memudahkan orang ramai membuat pembayaran zakat fitrah dengan lebih cepat, lebih mudah dan lebih teratur. Kemudahan kaunter ini amat memberangsangkan," kata beliau ketika ditemui di kaunter tersebut hari ini.
Sementara itu, pembayar zakat yang ditemui Astro AWANI di kaunter tersebut berpendapat kemudahan itu sememangnya menyenangkan urusan mereka.
Menurut Siti Salwa Mohd Yusoff, sebagai seorang wanita yang jarang pergi ke masjid untuk membayar zakat, beliau berpuas hati dapat membuat pembayaran dengan cara sebegini.
Mohd Fitri Tajuddin pula berkata: "Kadang-kadang kita sibuk, tak ada masa untuk membayar di kaunter, jadi kaunter lalu ini memang bagus."
Bagi Mohd Faizal Awang, beliau telah menggunakan perkhidmatan itu sebanyak tiga kali.
"Saya dah tiga kali bayar zakat secara pandu lalu... ia betul-betul memudahkan urusan saya," katanya.
Kaunter zakat fitrah pandu lalu ini beroperasi di lobi utama Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin dan dibuka seawal 8 pagi hingga 7 malam sepanjang bulan Ramadan.