Kaunter khas Program Rekalibrasi Pulang percepat urusan pendatang tanpa izin di KLIA

Bernama
Julai 8, 2021 14:35 MYT
Kaunter yang beroperasi 24 jam itu membolehkan pendatang tanpa izin berurusan untuk pulang ke negara asal dengan segera. - Bernama
SEPANG: Kaunter khas bagi Program Rekalibrasi Pulang Pendatang Tanpa Izin kendalian Jabatan Imigresen (JIM) dibuka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi membolehkan pendatang tanpa izin berurusan untuk pulang ke negara asal dengan segera.
Kaunter yang beroperasi 24 jam di Aras Tiga Balai Ketibaan KLIA sejak 5 Julai itu membolehkan pendatang tanpa izin hadir ke kaunter berkenaan sekurang-kurangnya enam jam sebelum waktu penerbangan tanpa melalui Sistem Temujanji Online (STO) untuk berurusan di pejabat Imigresen.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, JIM menerima banyak aduan daripada pihak kedutaan berkaitan STO yang slot sentiasa penuh dan menyebabkan pendatang tanpa izin terpaksa menunggu lama.
Ekoran itu, JIM dengan kerjasama Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) melaksanakan penambahbaikan itu melalui pembukaan kaunter khas berkenaan bagi memudahkan pendatang tanpa izin yang telah melengkapkan dokumen hadir terus ke kaunter dan seterusnya pulang ke negara masing-masing pada hari penerbangan.
"Ia merupakan satu ejen perubahan yang meningkatkan kecekapan JIM dalam melaksanakan program ini," katanya kepada pemberita selepas meninjau proses di kaunter Program Rekalibrasi Pulang Pendatang Tanpa Izin di KLIA hari ini dengan disertai Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said.
Syarat untuk menyertai Program Rekalibrasi Pulang di KLIA itu ialah memiliki dokumen perjalanan sah yang diluluskan kedutaan masing-masing, memiliki tiket pulang ke negara asal, membayar kompaun RM500 sama ada menerusi kad debit, kad kredit atau Touch 'n Go e-Wallet sahaja dan mempunyai slip ujian saringan Tindak Balas Berantai Polimerase (RT-PCR) yang sah laku dalam tempoh 72 jam dari tarikh penerbangan.
Menurut Khairul Dzaimee, seramai 48 pendatang tanpa izin telah menggunakan perkhidmatan kaunter berkenaan setakat ini dan inisiatif sama akan dipanjangkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) dan pintu masuk antarabangsa lain.
Mesyuarat Jemaah Menteri pada 23 Jun lepas bersetuju dengan pelanjutan Pelan Rekalibrasi Pendatang Tanpa Izin bagi menyokong pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) hingga hujung tahun ini, atau sehingga PICK tamat.
Pelan bagi pengurusan dan meregularisasikan pendatang tanpa izin di negara ini sebagai pekerja asing sah digajikan majikan layak, mempunyai dua komponen utama iaitu Program Rekalibrasi Pulang dan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja.
Menurut Khairul Dzaimee, seramai 248,083 pendatang tanpa izin telah berdaftar di bawah Pelan Rekalibrasi, dengan 98,194 orang berdaftar di bawah Program Rekalibrasi Pulang manakala 149,889 orang pula di bawah Program Rekalibrasi Tenaga Kerja.
Menurutnya, seramai 6,822 majikan juga berdaftar menyertai Program Rekalibrasi Tenaga Kerja.
"Pada peringkat awal, JIM meletakkan sasaran seramai 250,000 pendatang tanpa izin untuk menyertai kedua-dua program ini dan dengan statistik terkini, kita yakin angka ini bertambah lagi antara 20,000 hingga 30,000 individu nanti," katanya yang turut mengingatkan majikan dan pendatang tanpa izin agar tidak terjebak dengan sindiket rekalibrasi palsu.
-- BERNAMA
#pendatang #pendatang tanpa izin #kaunter khas #Program Rekalibrasi Pulang #KLIA #jabatan imigresen
;