Kaunter imigresen sesak kerana permohonan E-Kad saat akhir

Bernama
Jun 28, 2017 07:32 MYT
JIM telah membuat banyak kali peringatan kepada majikan dan pekerja semenjak 15 Februari tahun ini supaya majikan mendaftarkan segera pekerja mereka untuk memperoleh E-Kad, tambah beliau. - Foto BERNAMA
Kaunter Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang dibuka sejak pagi semalam penuh sesak dengan majikan dan pekerja yang membuat permohonan E-Kad sebelum tempohnya berakhir Jumaat ini (30 Jun).
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali dalam kenyataannya pada Rabu berkata, walaupun JIM sudah membuka kaunter dengan semaksimumnya kesesakan tetap berlaku kerana sikap pekerja dan majikan yang menunggu hingga saat akhir.
"Sehingga jam 4 petang ini (semalam), bermula dari 15 Februari lepas, sebanyak 126,350 E-Kad telah dikeluarkan.
"Sebanyak 23,678 majikan telah tampil membuat pendaftaran pekerja mereka," katanya.
Mustafar menambah, tinggal tiga hari sahaja lagi peluang untuk majikan mendaftar bagi E-Kad kepada pekerja sebagaimana syarat- syarat ditetapkan.
JIM telah membuat banyak kali peringatan kepada majikan dan pekerja semenjak 15 Februari tahun ini supaya majikan mendaftarkan segera pekerja mereka untuk memperoleh E-Kad, tambah beliau.
Mustafar turut menegaskan tempoh pendaftaran tidak akan dilanjutkan kerana masa telah diberi secukupnya.
"Mulai awal pagi tadi semenjak kaunter di pejabat-pejabat JIM dibuka, sehingga jam 4 petang ini sahaja sebanyak 599 majikan telah hadir untuk mendaftarkan kira-kira 2,825 PATI dan sebanyak 1,828 E-Kad telah dikeluarkan," ujar beliau.
Katanya, mulai 1 Julai, gerak gempur terhadap pendatang asing tanpa izin dan majikan yang ingkar tetap akan dijalankan.
Laporan sebelum ini menyebut kaunter JIM bagi permohonan E-Kad dipanjangkan sehingga 12 tengah malam mulai hari ini hingga Jumaat.
Program E-Kad yang dikeluarkan secara percuma bertujuan mendaftarkan dan membolehkan pendatang asing tanpa izin mendapat permit kerja selepas melalui beberapa prosedur ditetapkan oleh Kementerian Dalam Negeri.
-- BERNAMA
#e-kad #Jabatan Imigresen Malaysia #kaunter imigresen #majikan #Mustafar Ali #Pekerja #penuh sesak #permohonan E-Kad
;