Kaunter bayaran saman di KLCC ditutup serta-merta - Polis

Hilmi Malik
Disember 10, 2021 19:29 MYT
Langkah itu dibuat bagi mengelakkan risiko penularan COVID-19 akibat kesesakan orang ramai kata Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR : Polis telah mengarahkan penutupan kaunter bayaran saman di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) berkuat kuasa serta-merta mulai petang Jumaat.
Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, langkah itu bagi mengawal dan mengelakkan tercetusnya kesesakan.
“Kaunter pembayaran saman di KLCC sempena 100 hari Aspirasi Keluarga Malaysia ditutup mulai petang 10 Disember 2021.
“Ia bagi mengelakkan kesesakan orang ramai , tiada penjarakan fizikal dan keadaan yang sukar dikawal yang mana akan memberikan risiko kepada berlaku penularan jangkitan COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Dalam pada itu, Sarifudin menyarankan agar orang ramai membuat bayaran saman di mana-mana kaunter cawangan trafik di seluruh negara.
Langkah itu juga dibuat susulan arahan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang bimbang berkemungkinan berlakunya penularan COVID-19.
BACA: Penganjur Hari Aspirasi Keluarga Malaysia dikompaun RM1,000 - Khairy
Malah, Penganjur Hari Aspirasi Keluarga Malaysia dikenakan kompaun mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit (Akta 342) berjumlah RM1,000 susulan kegagalan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
Baru-baru ini, kaunter pembayaran saman yang menawarkan diskaun hingga 80 peratus sempena Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia mendapat sambutan hangat.
Orang ramai yang tidak melepaskan peluang juga sanggup beratur panjang seawal jam 9 pagi bagi melunaskan bayaran saman tertunggak.
#Khairy Jamaluddin #saman #ACP Sarifudin Mohd Salleh #KLCC
;