Kaunseling bantu ibu miliki tiga anak autistik kawal emosi
Bernama
Jun 29, 2024 13:45 MYT
Jun 29, 2024 13:45 MYT
KUALA LUMPUR: Bukan mudah menguruskan seorang anak istimewa, justeru, bayangkan pula jika perlu menjaga tiga orang, dan pada masa sama, harus bekerja sepenuh masa untuk menampung keperluan hidup.
Kehidupan itu dijalani oleh guru tadika Dalilah Diyana Sazali, 36 yang mempunyai tiga anak autistik berusia lima hingga 11 tahun.
Tambah mencabar, suaminya seorang anggota polis yang bertugas mengikut syif, bererti sebahagian besar tugas menjaga anak terpikul di bahunya.
"Kalau jaga seorang pun kita dah lelah, bayangkan pula tiga orang. Saya seorang ibu yang bekerja dan suami pula hanya balik ke rumah setiap dua hari. Jadi, semasa suami tiada di rumah, saya terpaksa urus anak seorang diri, memang sangat mencabar," kongsinya kepada Bernama.
Ujar anak jati Perlis itu, dia bangun seawal empat pagi untuk menyediakan keperluan anak sebelum pergi bekerja, dan mengakui, ada masa emosinya "terganggu".
Ketika ditanya pengalaman getir sepanjang menjaga anak istimewanya itu, Dalilah Diyana berkata pernah berlaku seorang daripada anaknya itu menelan lapan biji ubat yang diambil dari dalam almari ketika dia sedang bersolat.
"Ubat itu ada di dalam almari yang tinggi dan sukar digapai oleh kanak-kanak normal, tetapi mereka boleh (lakukan). Kita memang takkan dapat duga apa yang mereka boleh buat, dan kerana itu saya memang tidak boleh tinggalkan mereka tanpa pengawasan walaupun lima minit.
"Situasi ini membuatkan saya tertekan, bimbang juga sekiranya saya melakukan sesuatu tanpa sedar ketika marah," katanya, menambah sesi kaunseling dan psikoterapi yang dihadiri secara berkala banyak membantunya mengawal tekanan.
Kini, selepas 11 tahun menguruskan anak autistik, wanita cekal ini semakin reda dan menerima takdir dengan hati terbuka, walaupun di peringkat awal pernah mengurung diri dan enggan membawa anaknya keluar di khalayak kerana mahu "menyembunyikan" hakikat daripada orang ramai.
Menurutnya, selepas anak sulung disahkan mengalami autisme, dia dan suami mengambil pelbagai langkah bagi "mengelakkan" nasib sama menimpa anak kedua dan ketiga, namun, kehendak takdir tidak dapat disanggah.
"Saya ambil keputusan untuk merancang keluarga kerana rasa takut untuk mengandung lagi. Selepas anak kedua lahir. saya ambil pelbagai pendekatan, misalnya tidak dedahkan dia kepada peranti, tetapi tetap juga sama (disahkan autisme), jadi saya reda," kongsinya lagi.
Menurutnya, sebelum ini dia juga kerap menyalahkan diri kerana terpaksa menyusahkan orang sekeliling termasuk rakan sekerja walaupun mereka amat memahami, selain menerima sokongan penuh kedua-dua ibu bapa dan mentua.
Pengalaman serupa turut dialami oleh Mardhiah Maulad Mohd Akmar Salleh, 34, yang dikurniakan tiga anak istimewa, didiagnosis dengan gabungan Gangguan Kecelaruan Tumpuan dan Kelasakan (ADHD), disleksia dan autisme.
Menurut wanita itu, anak sulungnya, Adam D'raphael, 13, didiagnosis dengan ADHD dan disleksia; Mecca Sophia, 9, (autisme tahap rendah, ADHD, disleksia) dan Ethan Neil Aizat, 5, ( ADHD dengan ciri-ciri autisme), menuntutnya menjadi lebih peka dan sabar dalam menguruskan mereka.
"Anak ketiga paling mencabar, walaupun dia mempunyai kelebihan menguasai pelbagai bahasa, dia tidak boleh mengawal emosi. Kalau dia tantrum (mengamuk), pujuk macam mana sekalipun takkan dapat tenangkan dia," kata pemandu van sekolah separuh masa itu yang mengakui turut didiagnosis mengalami depresi dengan ciri-ciri psikosis.
"Disebabkan terlalu tertekan, saya mula nampak (bayangan) diri sendiri tikam anak. Bimbang berlaku perkara tidak diingini, saya berjumpa doktor," kongsinya sambil menasihati ibu bapa yang mempunyai anak istimewa tidak malu jumpa kaunselor secara berkala.
-- BERNAMA