Kaum India selesa amal budaya Melayu Kelantan
Vivi Sumanti
Oktober 23, 2022 13:19 MYT
Oktober 23, 2022 13:19 MYT
KOTA BHARU: Kaum India di Kelantan yang menetap sejak berzaman di negeri yang terkenal dengan gelaran Serambi Mekah itu bersyukur kerana dapat hidup harmoni dalam kalangan kaum Melayu.
Walaupun hanya sekitar 800 orang masyarakat India yang menetap di Kota Bharu, golongan minoriti itu tidak berasa terpinggir dan tertekan dengan kehidupan yang dikelilingi orang Melayu Kelantan.
Bahkan, menurut Timbalan Pengerusi Sivasubramaniam Temple, Jeyabalan Balakrishnan, 64, kaum India Kelantan berasa selesa dan aman menjadi sebahagian rakyat negeri ini walaupun sedar kaum Melayu yang banyak menguasai ekonomi, pentadbiran dan sebagainya.
"Saya berasa bertuah kerana lahir di Kelantan, walaupun kami hanya sebahagian kecil sahaja, namun kami dapat menjalani kehidupan dan perniagaan dengan aman tanpa ada tekanan dan gangguan.
"Kerajaan Kelantan yang dikuasai Pas sejak lebih 30 tahun hingga kini turut menjaga kebajikan kaum India dan memberi ruang untuk kami mengamalkan agama dan adat kami.
"Saya dah serasi dengan budaya Kelantan, mengamalkan cara hidup Melayu, makan makanan Melayu, pakai pakaian Melayu dan bertutur dialek Kelantan dengan fasih," katanya selepas menerima kunjungan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Beliau yang juga ahli Jawatankuasa Persatuan Peniaga India Kelantan turut memaklumkan hampir kesemua pekerja di kedai peralatan elektronik adalah anak muda Melayu.
Sempena sambutan Deepavali, masyarakat India di Kelantan tidak ketinggalan meraikannya dalam suasana meriah dengan dihadiri kenalan dan taulan dari masyarakat Melayu Kelantan.
Sementara itu Takiyuddin memaklumkan, lebih 800 orang India menjadi pengundi di Parlimen Kota Bharu.
Masyarakat India Kota Bharu merupakan kaum minoriti dengan jumlahnya tidak sampai 1,000 orang berbanding kaum Cina yang dianggarkan lebih 16,000 orang.
"Masyarakat India di Kota Bharu dapat hidup dalam kelompok Melayu, mereka mengamalkan adat Melayu Kelantan, bercakap dialek Kelantan, menjalankan perniagaan dan kehidupan dengan aman dan harmoni.
"Uniknya masyarakat India di sini, mereka turut menjalinkan perkahwinan 'inter marriage', kaum India-Cina, India Siam dan sebagainya," katanya selepas mengunjungi komuniti India di sini pada Sabtu.
Jelas Takiyuddin lagi, walaupun komuniti masyarakat India kecil, kerajaan negeri turut membenarkan rumah ibadat mereka dibina di Kelantan dan menghormati hak-hak bukan Islam di Kelantan.
Sambutan Deepavali yang diraikan masyarakat India Kelantan turut sama diraikan oleh masyarakat Cina dan Melayu berkonsepkan Keluarga Malaysia.