Katiravan jelajah 32 negara, pupuk kesedaran alam sekitar, promosi Malaysia di mata dunia

Bernama
Februari 4, 2024 05:00 MYT
Katiravan merancang untuk menaiki pesawat ke Mesir, Jordan, Arab Saudi dan semua negara Arab di Timur Tengah sebelum ke Turkiye dan ke negara-negara di Asia Tengah. - Gambar FB Katiravan Subarayan
KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia Katiravan Subarayan, 63, yang memulakan misi menjelajah 106 negara kini sudah menjejakkan kaki di 32 negara sejak memulakan pengembaraan pada awal Januari 2023.
Sambil menunggang motosikal BMW R 1200cc GSA yang dikenali dengan nama Parameswara, pengembaraan bekas pengurus elektrik dan penyelenggaraan dari Melaka itu bertujuan untuk mewujudkan kesedaran alam sekitar dan mempromosikan tanah tumpah darahnya di mata dunia.
Pesara yang mempunyai pengalaman selama 39 tahun dan memiliki sijil kemahiran high-voltage itu, sebelum ini pernah menerima tawaran daripada syarikat terkemuka namun menolaknya kerana mahu mengejar impian yang didambakan selama ini.
Atas semangat dan komitmen untuk menyebarkan kesedaran tentang pemanasan global dan mempamerkan keindahan Malaysia, mendorong beliau untuk mengembara bagi menyuntik perubahan positif selain mahu mempromosikan keindahan alam semula jadi Malaysia.
Katiravan berada di sebuah asrama di Kingston, Jamaica, ketika dihubungi penulis baru-baru ini.
Setakat ini beliau telah menjelajah beberapa negara seperti Singapura, Indonesia, Timor-Leste, Australia, Jepun, Korea Selatan dan Rusia, Kanada, Alaska, Amerika Syarikat, Cuba dan Jamaica.
Terlalu banyak cabaran perlu diharungi antaranya kepelbagaian budaya dan bahasa.
Ketika berada di Rusia memandangkan masyarakat di sana tidak memahami bahasa Inggeris apatah lagi bahasa Melayu beliau menghadapi kesukaran untuk berkomunikasi.
Namun itu tidak melemahkan semangatnya untuk meneruskan pengembaraan. Dengan menggunakan Google Translate beliau dapat berkomunikasi dan berkongsi pandangan tentang kesan perubahan iklim yang kini menjadi isu yang amat membimbangkan
Beliau turut tidak melepaskan peluang untuk mempromosikan keistimewaan dan kelebihan yang ada di Malaysia.
“Saya menggunakan Google Translate untuk berkomunikasi. Saya melibatkan mereka dalam perbincangan tentang kesan pemanasan ke atas planet kita sambil menonjolkan aspek positif Malaysia dan keindahan alam semula jadi negara kita.
"Saya turut berkongsi mengenai keunikan Malaysia yang berbeza dari segi agama, budaya dan bahasa...tetapi masih dapat menjalani kehidupan dalam suasana harmoni dan toleransi...," kata Katiravan kepada Bernama.
Menjawab pertanyaan masyarakat tempatan bagaimana rakyat Malaysia dapat menjalani kehidupan dalam suasana harmoni, Katiravan berkata: "Rakyat Malaysia mempamerkan penerimaan yang luar biasa terhadap kepercayaan masing-masing, membenarkan individu bebas mengamalkan agama dan budaya masing-masing.
"Selepas mengembara melalui Eropah, saya menghantar motosikal saya ke London, kemudian meneruskan perjalanan ke Kanada dan akhirnya sampai ke Alaska. Dalam perjalanan ke Amerika Utara melalui Amerika Syarikat (AS), saya berjumpa dengan ramai orang yang sudi membantu saya menanam 20 pokok,” katanya.
Beliau kemudian meneruskan pengembaraan ke Mexico dan menambah lima lagi pokok untuk misi alam sekitarnya sebelum meneruskan perjalanan ke Cuba dan menanam dua lagi pokok.
Sepanjang perjalanan di Cuba beliau tidak menunggang motosikal kerana masalah Google Map dan perkhidmatan yang diperlukan agak terhad di negara ini memandangkan Cuba berdepan sekatan ekonomi.
Katiravan berkata sukar untuk mendapatkan bahan api kerana stesen minyak hanya akan mengisi semula bekalan setiap 10 hari, menyebabkan kenderaan beratur panjang untuk mengisi minyak yang kadangkala perlu beratiur sehingga dua kilometer.
Namun, sepanjang berada di Cuba beliau bernasib baik kerana dapat bantuan daripada seorang warga Malaysia.
Pengembaraan seterusnya berdepan pelbagai masalah antaranya berkaitan dana memandangkan penurunan nilai ringgit dan menyebabkan beliau berusaha untuk mencari penaja selain terpaksa menjual hartanahnya.
Biar apa pun halangan ia tidak mematahkan semangat beliau untuk meneruskan pengembaraan ke Jamaica sebelum meneruskan fasa perjalanan menunggang motosikalnya merentasi benua Amerika Selatan.
Beliau merancang untuk menaiki pesawat ke Mesir, Jordan, Arab Saudi dan semua negara Arab di Timur Tengah sebelum ke Turkiye dan ke negara-negara di Asia Tengah.
Menjangkakan perjalanan seteruskan akan mengambil masa 12 bulan lagi, beliu membayangkan untuk melengkapkan pengembaraannya dan kembali ke Malaysia pada awal 2025.
-- BERNAMA
#pengembaraan #misi jelajah 106 negara #Katiravan Subarayan #motosikal
;