Katil berdiri fisioterapi rangkul Anugerah Perdana Inovasi KKM 2020
Astro Awani
Mac 26, 2021 21:08 MYT
Mac 26, 2021 21:08 MYT
KUALA LUMPUR: Cetusan idea lima petugas Hospital Tengku Anis, Kelantan menghasilkan katil berdiri untuk senaman fisioterapi bagi membantu rawatan pemulihan pesakit kanak-kanak istimewa berjaya merangkul Anugerah Perdana Inovasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) 2020.
Katil inovasi yang direka khas untuk menyokong pesakit kanak-kanak penghidap palsi serebral, spina bifida dan sindrom down ternyata efektif untuk melatih mereka dalam posisi berdiri.
Berkongsi mengenai inovasi itu, pencipta produk tersebut, Anis Norfatanah Abdullah Sani berkata, inisiatif untuk menghasilkan katil mudah alih itu tercetus pada tahun 2015 ekoran kelemahan kaedah penggunaan bola gim yang digunakan sebelum ini.
"Di situ bermulanya perbincangan dengan ahli pasukan kami untuk buat prototaip pertama pada 2015," katanya selepas majlis penganugerahan inovasi tersebut yang diadakan sempena sambutan Hari Inovasi KKM bertemakan Budaya Inovasi Pemangkin Kecemerlangan di sini, pada Jumaat.
Dalam majlis yang dirasmikan oleh Datuk Seri Dr Adham Baba itu, kumpulan TA Power itu dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Perdana Inovasi 2020 dengan membawa pulang hadiah trofi, sijil dan wang tunai RM20,000.
Antara lain penerima anugerah adalah aplikasi MySejahtera yang dibangunkan pasukan Bahagian Kawalan Penyakit KKM dan Specimen Management Information System (SMIS) yang dibangunkan oleh Institut Penyelidikan Perubatan.
KKM juga menerima Anugerah Kesihatan Global (GHA) 2020 dan Anugerah Inovasi Antarabangsa COVID-19 Edisi Khas Malaysia Technology Expo 2020.
Sementara itu, Anis Norfatanah berkata, setakat ini, 20 pembeli menggunakan kemudahan katil itu yang dijual pada harga kira-kira RM5,000 seunit dan pihaknya turut menerima maklum balas positif daripada pengguna.
Terdahulu, ketika berucap pada majlis itu, Adham berkata KKM juga bekerjasama dengan beberapa agensi penyelidikan dan khidmat teknikal bagi menghasilkan inovasi peralatan terbaharu menerusi Kolaborasi Strategik Inovasi Kejuruteraan Kesihatan.
Menerusi kolaborasi itu, katanya, tiga inovasi telah dihasilkan iaitu prototaip peranti perubatan ventilator menggunakan teknologi 3D, prototaip Splitter Kit ventilator dan Unit Rawatan Rapi Hibrid di lapangan (FHyICU).
"Dalam Indeks Inovasi Global (GII) 2020, Malaysia, menduduki tempat ke-33 daripada 131 negara, naik dua anak tangga berbanding di tangga ke-35 pada tahun sebelumnya.
"Manakala, di peringkat Asia Pasifik pula, kita berada di kedudukan kelapan dalam indeks yang dikeluarkan oleh INSEAD (InstitutEuropéen d'Administration desAffaires), Pertubuhan Hartanah Intelek Dunia (WIPO) yang juga agensi khusus Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Cornell University," jelasnya.
Pada majlis yangsama, Dr Adham mengumumkan yang beliau dan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dicalonkan sebagai lembaga eksekutif untuk mewakili Western Pacific Region Office dalam Persidangan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) 2021.
"Ini juga satu pengiktirafan dunia kepada KKM di atas sumbangan dan kejayaan kita dalam pelbagai bidang seperti pengurusan pandemik COVID-19, Inovasi Kesihatan Digital, kesihatan mental dan pengurusan penyakit tidak berjangkit (NCD)," katanya lagi.
#Adham Baba
#Kementerian Kesihatan
#Dr Noor Hisham Abdullah
#inovasi
#Anugerah Perdana Inovasi
#Hospital Tengku Anis
#kanak-kanak istimewa