Kata Tok Mat, Rantau tak perlu hospital kerana...
Rahimah Abdullah
Mac 31, 2019 07:38 MYT
Mac 31, 2019 07:38 MYT
Calon Barisan Nasional (BN) pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan tidak melihat keperluan untuk membina sebuah hospital di kawasan itu.
Ini kerana, terdapat beberapa hospital sedia ada berdekatan kawasan DUN itu, termasuk di Port Dickson, Seremban, Tampin dan Rembau.
“Rantau tak perlu hospital sebab dekat dengan Port Dickson, Rembau dan Seremban. Hospital Seremban adalah (untuk tujuan) selepas pemulihan, Hospital Tampin ada dan Hospital Seremban pula dekat.
"Jadi, orang kota boleh pergi di Tampin, orang di Chembong boleh pergi Seremban. Tidak timbul isu nak dapatkan satu lagi hospital atau tidak,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Mesra bersama Tok Mat di Nusara Bayu 2 di Bandar Sri Sendayan di sini pada malam Sabtu.
Astro AWANI sebelum ini mendedahkan ada kalangan penduduk Rantau yang mahukan sebuah klinik kesihatan yang baharu atau hospital dibina di kawasan itu bagi menampung peningkatan penduduk tempatan.
Mengulas mengenai cadangan calon Pakatan Harapan (PH), Dr S Streram untuk menaik taraf Klinik Kesihatan sedia ada di Rantau, beliau menjelaskan cadangan itu telah dikemukakannya sebelum ini.
Namun, usaha memperbesarkan kemudahan itu tidak dilakukan berikutan masalah pemilikan tanah.
“Memang kita nak naik taraf. Namun masalahnya, di Rantau itu, tanah tiada dan tempat itu tak sesuai lagi dibesarkan. Memang dah ada dasar kita untuk menaik taraf Klinik Kesihatan di Rantau.
“Dulu sudah diluluskan, namun sekarang ada masalah tanah, maka kita bawa kelulusan tersebut ke tempat lain, iaitu Lenggeng. Jadi, masalah tanah di situ ialah kerana tanah kerajaan tidak ada.
"Pengambilan tanah memerlukan belanja yang tinggi. Jadi, kadang-kadang ada isu yang bukan semudah apa yang kita fikirkan,” jelasnya lagi.
Pada Ahad, Dr Streram berhasrat menaik taraf Klinik Kesihatan sedia ada di Rantau jika menang pilihan raya kecil DUN itu 13 April ini.
Jelasnya, kemudahan itu ketika ini tidak mampu menampung jumlah penduduk setempat yang semakin meningkat.
PRK Rantau akan diadakan pada 13 April ini dengan Dr Streram akan dicabar Mohamad dan dua calon bebas iaitu suri rumah R. Malarvizhi dan bekas pensyarah Mohd Nor Yassin.
#Barisan Nasional
#Hospital
#Klinik kesihatan
#masalah tanah
#Mohamad Hasan
#naik taraf
#Pakatan Harapan
#Penduduk
#pilihan raya kecil
#PRK DUN Rantau
#Rantau
#rawatan kesihatan
#s streram