Kata Singapura ILS tidak timbulkan risiko keselamatan di Pelabuhan Pasir Gudang
Bernama
Disember 12, 2018 22:18 MYT
Disember 12, 2018 22:18 MYT
Menteri Pengangkutan Singapura Khaw Boon Wan menegaskan bahawa rancangan Singapura untuk memperkenalkan Sistem Pendaratan Instrumen (ILS) untuk Lapangan Terbang Seletar tidak akan menimbulkan sebarang risiko keselamatan atau sekuriti terhadap operasi perkapalan di Pelabuhan Pasir Gudang di Johor, lapor The Straits Times hari ini.
Menurut laporan itu, Khaw berkata demikian susulan kenyataan yang dibuat oleh rakan sejawatannya dari Malaysia, Anthony Loke dalam video berdurasi 90 saat yang dimuatkan dalam laman Facebooknya lewat Selasa.
** Dalam catatan Facebook malam tadi, Loke meminta Singapura mengubah laluan penerbangan yang dipertikaikan untuk laluan masuk sebelah selatan ke lapangan terbang dan menarik balik pengumuman mengenai penyiaran tatacara ILS yang dijangka berkuat kuasa pada 3 Jan.
Loke berkata jika laluan penerbangan ILS itu dibenarkan, Malaysia tidak boleh membina bangunan tinggi di Pasir Gudang, Johor, dan Pelabuhan Pasir Gudang akan menghadapi risiko yang lebih tinggi dan pelbagai sekatan.
"Saya telah menonton video: Ia merupakan video yang baik. Saya memuji pasukan yang menghasilkan video tersebut tetapi saya fikir video itu mengandungi beberapa ketidaktepatan," Khaw dipetik sebagai berkata.
Merujuk kepada komen Loke tentang kebimbangan keselamatan berkaitan sekatan ketinggian yang dicadangkan, Khaw berkata: "Itu bukan cara ILS berfungsi ILS ialah seperti auto pilot dalam pesawat, ia adalah alat untuk juruterbang. Juruterbang sentiasa boleh melakukan intervensi manual jika kebimbangan mengenai keselamatan memerlukannya. Juruterbang mengekalkan kawalan penuh sepanjang penerbangan. "
"Perkara utama ialah jika ia adalah kebimbangan teknikal, dan melalui semangat muhibah, saya yakin penyelesaian teknikal yang saling memuaskan dapat dicapai.
"Tetapi saya fikir situasinya seolah-olah menggunakan alasan teknikal ini untuk mencetuskan desakan untuk mengubah pengaturan ruang udara.
Loke pada 4 Dis lepas memberitahu Dewan Rakyat bahawa kerajaan telah memaklumkan kepada Singapura mengenai rancangan Malaysia untuk mengambil balik ruang udara yang diwakilkan di selatan Johor daripada republik itu secara berperingkat.
Peringkat pertama dijangka dilaksanakan menjelang akhir 2019 sementara peringkat seterusnya ialah pada 2023.
Khaw menegaskan bahawa pengaturan itu "telah berjalan dengan baik dengan memberi manfaat kepada semua pihak berkepentingan di rantau ini", jadi beliau "benar-benar bingung" dengan pendirian Malaysia baru-baru ini.
The Straits Times juga melaporkan bahawa sejak penggantungan penerbangan, Firefly meminta slot pendaratan sebelumnya di Lapangan Terbang Changi dikembalikan.
Beliau berkata: "Firefly tahu bahawa kami memindahkan mereka ke Seletar dan mereka telah merancang atas dasar itu. Mereka telah memeriksa Seletar. Mereka berpuas hati dengan Lapangan Terbang Seletar dan hasilnya, beberapa bulan lalu, mereka memohon slot di Seletar dan kami mengalu-alukan mereka di sana dan slot mereka di Changi telah dilepaskan dan diagihkan kepada syarikat penerbangan lain. "
Unit Malaysia Airlines yang mengadakan 20 penerbangan turboprop setiap hari - ke dan dari Subang, Ipoh dan Kuantan - di Lapangan Terbang Changi, sepatutnya memindahkan operasi ke Lapangan Terbang Seletar pada 1 Dis.
-- BERNAMA
#Dewan Rakyat
#Facebook
#ILS
#keselamatan
#Khaw Boon Wan
#Malaysia
#Malaysia Airlines
#Menteri Pengangkutan
#operasi
#penerbangan
#Singapura