Kasut Vern's: Mula-mula marah, tetapi enggan bersikap semberono - Dr Akmal
Firdaus Azil
April 7, 2024 15:39 MYT
April 7, 2024 15:39 MYT
KUALA LUMPUR : Ketika isu berhubung stoking tertera kalimah Allah masih belum reda, timbul satu lagi dakwaan tentang tentang kasut keluaran syarikat jenama tempatan, Vern’s yang didakwa mempunyai kalimah tersebut di tapaknya.
Bagaimanapun, Ketua Pemuda UMNO Malaysia Dr Muhamad Akmal Saleh memilih untuk mengamal sikap ‘husnuzon’ (bersangka baik), dan meminta syarikat tersebut untuk membuat penjelasan dahulu dalam tempoh 24 jam.
Dalam catatan terbaharu di media sosialnya, Dr Akmal berkata, beliau sendiri membuat penyelidikan sebelum terbaca satu catatan memaklumkan ia adalah logo seperti sebuah kasut tumit tinggi dengan talinya sekali.
Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Negeri Melaka itu turut mengakui, ia kelihatan begitu dari pemandangan matanya.
“Apabila saya lihat semula,saya mencari sebanyak mana maklumat mengenai logo di tapak kasut sedemikian. Dan saya terbaca satu posting yang memaklumkan ia adalah logo seperti sebuah kasut tumit tinggi dengan talinya sekali dan begitu juga dari pemandangan mata saya
“Ada logiknya di situ tetapi apa sekalipun kita mendesak satu penjelasan yang segera dari pihak syarikat Vern's mengenai isu ini
“Kami orang Islam di Malaysia ini bukan jenis yang bertindak semberono tanpa usul periksa,kami berhusnuzon (bersangka baik) terlebih dahulu dan kami mahukan penjelasan dari pihak kamu,” katanya lagi.
Jika tiada penjelasan dikemukakan dalam tempoh 24 jam, Dr Akmal berkata, Vern’s diharap tidak menyalahkan mana-mana pihak sekiranya gerakan boikot terhadap syarikat itu berlaku.
Terdahulu, seorang individu bernama Mohd Haridz memuat naik video kasut tersebut yang dibelinya beberapa hari lalu.
Susulan penularan video tersebut, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na’im Mokhtar telah meminta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk membuat siasatan.