Kasut putih jadi pilihan disiplinkan murid

Shuhada Abdul Kadir
Januari 2, 2019 12:15 MYT
Empat pasangan kembar yang bermula alam persekolahan mereka di SK Serkam Darat di Merlimau, Melaka hari ini. - BERNAMA
Tatkala ramai ibu bapa menggayakan kasut sekolah berwarna hitam kepada anak-anak mereka, namun masih ada yang memilih untuk memakai kasut putih.
Zanawati Zakaria berkata, pemilihan kasut putih buat pasangan kembarnya, Nurain Amirah dan Nurain Athirah Abdul Malek, adalah bagi memastikan mereka sentiasa berdisiplin dalam menjaga kebersihan.
"Saya hendak mereka disiplin, biasakan pakai kasut putih. Kalau kasut hitam, mungking dia tidak perlu basuh sangat sebab tidak nampak kotor pun," kata ibu berusia 44 tahun itu ketika ditemui Astro AWANI pada hari pertama sesi persekolahan 2019 hari ini.
Tambahnya, kedua-dua anaknya itu turut bersemangat untuk ke sekolah apabila bangun seawal pukul 5 pagi tanpa perlu dikejutkan.
"Pukul 5 pagi kami dah bangun, mandi dan terus sarapan. Rasa seronok sebab dapat jumpa kawan-kawan," kata Nurain Amirah yang bercita-cita untuk menjadi seorang doktor.
Nurain Amirah dan Nurain Athirah merupakan antara empat pasangan kembar yang memulakan Tahun Satu di Sekolah Kebangsaan Serkam Darat, Merlimau di sini, hari ini.
Pasangan itu bersama tiga pasangan kembar lain – Muhammad Danial dan Muhammad Danish Azlan, Muhammad Nur Airie dan Muhammad Nur Airil Ahmad Redzuan, serta Mior Rafieq Hazieq dan Mior Razieq Harith Mohd Rosdy – menjadi tumpuan media di sekolah mereka.
Lebih menarik, kehadiran empat pasangan kembar itu disambut dengan hulubalang yang lengkap berbusana Melayu dan iringan muzik oleh Persatuan Seni Silat Gerak Tepat Umbai dan Gerbang Melayu Melaka (GBM).
GBM, yang diketuai Timbalan Pengerusinya, Hisham Jaafar, bermain alat muzik seperti gendang anak, gendang ibu, tetuang, gong dan serunai.
Ujar Hisham, dia bersama empat lagi rakannya dijemput oleh pihak sekolah bagi menceriakan 97 pelajar baharu Tahun Satu di sekolah itu.
Katanya, ada antara pelajar yang mulanya sedih ditinggalkan ibu bapa. Namun selepas mendengar dia dan pasukannya mengalunkan muzik, mereka bertukar menjadi teruja.
"Kami berbesar hati kerana dapat memperkenalkan budaya kita kepada kanak-kanak melalui pemakaian dan juga muzik. Kami menggalakkan murid-murid ini untuk mengenali budaya Malaysia dan kami berdoa supaya mereka berjaya pada masa akan datang," katanya.
Tambahnya, ini merupakan kali pertama kumpulan itu membuat persembahan pada hari pertama sekolah dan bercadang untuk menjadikannya sebagai acara tahunan.
#hari pertama sekolah #kasut sekolah #kembar #Sekolah Kebangsaan Serkam Darat
;