Kastam tumpaskan sindiket seludup minuman keras di sebalik sayur import

Bernama
Julai 4, 2024 23:33 MYT
Norlela menunjukkan barang kes yang dirampas ketika sidang media berkaitan kejayaan membuat rampasan kontena minuman keras dan stor penyimpanan rokok tak berkastam di Kompleks Kastam WPKL hari ini. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menumpaskan sindiket penyeludupan minuman keras yang mengikrar barangan sebagai sayur-sayuran, menerusi penahanan dua kontena di Pelabuhan Utara, Klang pada 13 Jun.
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah Norlela Ismail berkata rampasan itu dibuat pada 11.30 malam, oleh pasukan Bahagian JKDM Zon Tengah Unit 1.
Beliau berkata pemeriksaan ke atas dua kontena terbabit menemukan 8,600 liter minuman keras, dipercayai dari China bernilai RM160,300 termasuk cukai dan duti.
"Modus operandi sindiket ini, membuat pengisytiharan palsu sebagai barangan sayuran pada borang manifes masuk bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
"Sindiket menyorokkan muatan minuman keras itu di sebalik sayuran import antaranya brokoli dan kubis," katanya dalam sidang media di Kompleks Kastam Kelana Jaya di sini, hari ini.
Norlela berkata susulan itu, seorang wakil perkapalan turut dipanggil bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
Sementara itu, beliau berkata pihaknya juga menumpaskan satu lagi sindiket dengan merampas 1.56 juta batang rokok putih dan kretek berjumlah RM1.35 juta termasuk duti dan cukai, pada 19 Jun.
Beliau berkata serbuan dilakukan Pasukan Tempur Operasi Medan Kastam (COBRA) JKDM Zon Tengah Unit 1 itu, dilaksanakan di sebuah gudang terbiar terletak di kawasan kilang di Batu 11, Cheras.
"Sindiket dipercayai menggunakan setem cukai disyaki palsu pada beberapa jenama rokok yang dirampas, bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
"JKDM percaya rokok ini untuk dipasarkan sekitar Lembah Klang dan dibawa masuk melalui pintu masuk sah, dengan diikrar barang dagangan sebagai barang sah," katanya.
Norlela berkata JKDM meminta orang ramai untuk salurkan maklumat sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi talian bebas tol Kastam 1-800-88-8855 atau pejabat kastam berhampiran.
-- BERNAMA
#minuman keras #wakil perkapalan #aktiviti penyeludupan #COBRA
;