Kastam tubuh pasukan skuad elit hadapi operasi bahaya
Anthea Yap
Oktober 27, 2016 17:45 MYT
Oktober 27, 2016 17:45 MYT
Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) akan menubuhkan skuad elit khas yang dilengkapi dengan senjata api bagi membanteras tonto, kata Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Khazali Ahmad.
Menurut beliau, berkata skuad itu akan dilancarkan pada 28 Nov depan dan akan diperluaskan secara berperingkat ke seluruh negara dengan kekuatan seramai 25 anggota terlatih di setiap negeri.
Pasukan tindakan cepat pegawai kastam itu telah menerima latihan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kelebihan taktikal.
"Mereka ini dilantik dari segi kecekapan menggunakan senjata api dan juga taktikal tertentu di dalam menghadapi sebarang situasi atau saat getir.
Ini termasuk apabila kita bertemu dengan tonto ataupun dengan penyeludup di mana mereka dilatih ke arah itu," katanya di Majlis Mesra Ketua Pengarah Kastam Malaysia bersama media di Lapang Sasar KLIA, di sini hari ini.
Khazali berkata skuad berkenaan sudah mula terlibat dalam operasi Kastam mematahkan penyeludupan pelbagai barangan.
Sementara itu, sepanjang Jan hingga 15 Okt 2016, JKDM berjaya menyelesaikan 5,612 kes penyeludupan dengan nilai rampasan berjumlah RM387.19 juta.
Menurut Khazali, rokok mencatatkan jumlah rampasan terbesar membabitkan 2,236 kes dengan nilai RM72.46 juta.
"Kes ini kita dapat dan kerjasama kita dengan pemberi maklumat dan juga dibuat melalui pakar risikan oleh pegawai kita dan ini adalah pencapaian Kastam dari segi tindakan penguatkuasaan," katanya di sini.
Khazali berkata rampasan dadah mencatatkan nilai kedua tertinggi mencecah RM70.74 juta dengan 41 kes sepanjang tempoh Januari hingga 15 Okt tahun ini.
Kesemua kes ini membabitkan pelbagai kesalahan di bawah Akta Kastam 1967 dan Akta Dadah Berbahaya 1952.