Kastam Terengganu rampas barangan bernilai hampir RM1 juta setakat April
Bernama
Mei 12, 2024 21:15 MYT
Mei 12, 2024 21:15 MYT
KUALA TERENGGANU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Terengganu merampas pelbagai barangan bernilai RM947,651.54, yang cuba diseludup masuk ke dalam dan keluar dari negeri itu, dari Januari hingga April tahun ini.
Pengarahnya Mohd Nadzri Ariffin berkata jumlah itu, melibatkan 10 kes dengan nilaian cukai keseluruhan bernilai lebih RM2.7 juta.
Beliau berkata tangkapan terbaharu melibatkan rampasan rokok di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) bernilai RM231,000, dengan anggaran cukai sekitar RM1.69 juta.
"Selain rokok seludup, rampasan tahun ini turut melibatkan kenderaan, mercun dan kain batik sarong yang diimport.
"Kain batik sarong tertakluk kepada barangan larangan import, yang memerlukan kelulusan dari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI)," katanya pada sidang media di Pejabat Bahagian Penguatkuasaan Panji Alam, di sini hari ini.
Dalam pada itu Mohd Nadzri meminta orang ramai supaya membantu menyalurkan maklumat bagi membantu JKDM membanteras jenayah penyeludupan rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan sebagainya.
-- BERNAMA