Kastam tahan 35 peniaga kedai runcit, rampas rokok, minuman keras seludup bernilai RM2.1 juta

Bernama
Ogos 21, 2024 06:45 MYT
Antara beberapa contoh jenis rokok yang telah dirampas dalam Op Royal yang dilaksanakan selama dua minggu bermula 12 Ogos lepas sekitar Kuala Lumpur. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Sebanyak 36 kertas siasatan dibuka dan 35 peniaga kedai runcit warga tempatan dan asing ditahan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) setelah disyaki menjual barangan seludup khususnya rokok dan minuman keras dalam Op Royal bermula sejak 12 Ogos lepas di sekitar Kuala Lumpur.
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah Norlela Ismail berkata JKDM merampas lebih 5,000 liter minuman keras dan 727,801 batang rokok bernilai lebih RM2.1 juta dalam operasi bersepadu itu yang melibatkan pemeriksaan ke atas 85 premis.
Antara premis tersebut ialah pasar raya, pasar awam, premis kediaman dan gudang di sekitar Jalan Imbi, Jalan Pudu, Jalan Raja Bot, Petaling Street dan Chow Kit yang disyaki menyimpan, memindah atau menjual barangan seludup khususnya rokok dan minuman keras.
"Daripada serbuan tersebut, 36 kertas siasatan dibuka dan 35 orang ditahan terdiri daripada warga tempatan dan asing yang berperanan sebagai peniaga di kedai-kedai runcit khususnya.
"Siasatan awal mendapati peniaga ini hanya menjual rokok dan minuman keras tidak sah kepada pelanggan tetap sahaja. Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti modus operandi kegiatan ini," katanya pada sidang media pada Op Royal sekitar Jalan Abdul Rahman Idris, Chow Kit di sini, pada Rabu.
Norlela berkata semua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967.
Beliau berkata operasi bersepadu dengan kerjasama Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur itu sebagai usaha membanteras penjualan dan pembekalan barang kontraban yang tertakluk di bawah Peraturan 42(1) Peraturan-Peraturan Kastam 2019.
Selain itu, Norlela memaklumkan pihaknya turut mewujudkan khemah statik dan van bergerak sebagai platform menerima aduan, menyampaikan mesej anti penyeludupan selain membina kerjasama dengan komuniti awam.
"JKDM menyeru orang awam memberi kerjasama dengan menyalurkan sebarang maklumat mengenai aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau pejabat kastam terdekat, dan kita beri jaminan bahawa setiap identiti pemberi maklumat dirahsiakan," katanya.
-- BERNAMA
#Peniaga kedai runcit #JKDM #barangan seludup #Op Royal
;