Kastam sasar kutipan GST RM3 bilion menerusi Ops CBOS 3.0 - Khazali
Bernama
Februari 20, 2017 07:26 MYT
Februari 20, 2017 07:26 MYT
Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mensasarkan kutipan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebanyak RM3 bilion menerusi operasi Strategi Lautan Biru Kastam (Ops CBOS) pada tahun ini.
Ketua Pengarah, Datuk Seri Khazali Ahmad berkata, operasi yang dikenali sebagai 'Ops CBOS 3.0' itu bermula pada Isnin sehingga 31 Disember 2017 akan melibatkan 200,000 syarikat berdaftar dengan GST.
"Operasi ini kita lancarkan untuk meningkatkan tahap pematuhan terhadap GST khususnya menerusi pendidikan.
"JKDM akan memberikan nasihat secara bersemuka kepada pemilik syarikat berbanding pendekatan melalui penguatkuasaan," katanya pemberita selepas melancarkan Ops CBOS 3.0 di sini, pada Isnin.
Beliau berkata, pihaknya mengutip GST sebanyak RM1.5 bilion menerusi operasi yang sama pada 2016.
Khazali berkata, sebanyak 600 pegawai dan anggota JKDM dari bahagian GST, Pematuhan dan Penguatkuasaan akan terlibat dalam Ops CBOS 3.0.
"Pemilik syarikat diberi tempoh sebulan untuk membayar cukai dengan (jumlah) betul selepas menerima nasihat daripada pegawai.
"Sekiranya mereka masih berdegil, JKDM tidak teragak-agak untuk ambil tindakan mahkamah dan mengenakan tindakan penalti sehingga 40 peratus daripada jumlah yang kurang bayar," katanya.
Khazali turut mengingatkan pemilik syarikat untuk tidak membuat pembayaran GST kepada pegawai yang melakukan pemeriksaan.
Ketika ditanya sama ada ops CBOS turut mensasarkan syarikat perniagaan dalam talian atau sebaliknya, beliau berkata, operasi Kastam itu tidak akan melibatkan syarikat dalam talian, bagaimanapun pihaknya akan terus mengesan syarikat berkenaan yang masih tidak mendaftar GST.
Setakat ini, hanya 670 syarikat perniagaan dalam talian telah berdaftar dengan GST sejak sistem pencukaian itu diperkenalkan, katanya.
Kastam menyasarkan kutipan GST keseluruhan sebanyak RM42 bilion bagi 2017.
Pada 4 Feb lepas, Timbalan Ketua Pengarah (Perkastaman dan GST) JKDM Datuk Zulkifli Yahya mengumumkan kira-kira 433,000 syarikat berdaftar di bawah GST sejak sistem pencukaian baharu itu dikuat kuasa pada 1 April 2015.
-- BERNAMA