Kastam Sabah rampas minuman keras tidak bercukai bernilai lebih RM1 juta
Mirlen Axtius
Ogos 19, 2022 14:18 MYT
Ogos 19, 2022 14:18 MYT
KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah menahan empat buah kontena berisi minuman keras yang disyaki cuba diseludup masuk ke negeri itu melalui di Pelabuhan Sepanggar, Kota Kinabalu.
Penolong Ketua Pengarah Kastam, Zon Sabah Cheong Yu Min berkata, kesemua rampasan dianggarkan bernilai RM1,136,413 itu melibatkan tiga kes tahanan minuman keras sejak 11 Ogos lalu.
"Rampasan pertama dilakukan pada 11 Ogos 2022, kira-kira 9.45 pagi, bertindak berdasarkan penemuan imej imbasan mesin pengimbas yang meragukan dan penahanan terhadap sebuah kontena berisi minuman keras yang disyaki cuba diseludup.
"Hasil pemeriksaan lanjut ke atas kontena yang ditahan tersebut mendapati sejumlah lebih kurang 18,236 liter minuman keras yang disyaki tidak berkastam dengan anggaran nilai harga sebanyak RM69,458.88, manakala anggaran duti dan cukai sebanyak RM284,139.95," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media JKDM Zon Sabah pada Jumaat.
Tambah Yu Min, rampasan kedua pada 16 Ogos 2022, lebih kurang 9.05 pagi, mendapati kedua-dua buah kontena tersebut mengandungi minuman keras pelbagai jenama dengan nilai RM594,410.86.
Manakala rampasan ketiga pada 17 Ogos lalu kira-kira 11.10 pagi selepas pihaknya menahan sebuah kontena disyaki digunakan untuk menyeludup masuk minuman keras dengan penemuan 16,632 liter berjumlah RM267,882.63.
"Modus operandi bagi ketiga-tiga kes ini adalah mengikrar dagangan import dengan barang lain untuk tujuan menyeludup bagi mengaburi pihak berkuasa.
"Sehubungan itu, kes disiasat di bawah Seksyen 135 (a) Akta Kastam 1967," katanya.